ADAKAH PROKLAMASI DARURAT SAH?


Image may contain: one or more people, text that says "RLIM S MALAY Media ADAKAH PROKLAMAS DARURAT SAH?"



Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seperti berikut:

“ Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.”

2. Pada masa sekarang adakah keselamataan Malaysia terancam? Maksudnya ancaman bersenjata musuh dari luar atau dalam negara? Jawapannya tidak ada.

3. Pada masa sekarang adakah kehidupan ekonomi Malaysia terancam? Maksudnya kilang-kilang pengeluaran ditutup; bank-bank ditutup; janakuasa elektrik, sistem telekomunikasi runtuh; pengangkutan darat, laut, udara terhalang; atau pelabuhan-pelabuhan terpaksa ditutup beroperasi. Jawapannya tidak ada senario sedemikian.

4. Adakah ancaman Pandemik Covid-19 boleh dianggap sebagai ancaman kepada kehidupan ekonomi? Jawapannya tidak. Pandemik Covid-19 adalah isu masalah Kesihatan Awam. Langkah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Bidang Kuasa Kementerian Kesihatan di bawah Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit serta Akta Majlis Keselmatan Negara (MKN) sudah mempunyai kuasa yang cukup untuk menangani Pandemik Covid-19.

5. Rakyat memerlukan dan menuntut Vaksin mencegah penyakit Covid-19 bukannya Perisytiharan Darurat? Kenapa di negara-negara jiran seperti Singapuran dan Indonesia, vaksin sudah sampai ke negara mereka dan operasi suntikan vaksin untuk selamatkan rakyat mereka telah bermula? Kenapa di Malaysia, vaksin tidak sampai-sampai? Hendak tunggu sampai bila?

6. Apakah penutupan dan penggantungan Parlimen serta semua Dewan-Dewan Undangan Negeri di bawah Darurat boleh menghapuskan Covid-19? Adakah Covid-19 takut dengan Parlimen dan DUN-DUN? Jika Coronavirus tidak kenalpun Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta amalan demokrasi: semak dan imbang; jadi siapa yang sebenarnya kecut dan takut dengan Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri?

7. Adakah pada masa sekarang ini ketenteraman awam Malaysia terancam? Berapa banyak rusuhan berlaku semenjak Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin berkuasa? Ada? Tak ada. Berapa banyak mogok-mogok pekerja seluruh negara semenjak 1 Mac 2020 hingga sekarang berlaku? Ada? Tak ada. Berapa banyak demonstrasi besar-besaran bersaiz sebesar demonstrasi Bersih 1 hingga Bersih 5 berlaku semasa Kerajaan PKP Muhyiddin berkuasa? Ada? Tak ada. Adakah rusuhan-rusuhan kaum berlaku dalam tempoh Kerajaan PKP Muhyiddin ini selama 10 bulan? Ada? Jawapannya tidak ada.

8. Jadi kesimpulannya, tidak ada asas yang kukuh untuk Darurat seluruh negara diisytiharkan mulai hari ini hingga 1 Ogos akan datang. Oleh kerana itu adakah Proklamasi Darurat yang berkuatkuasa sekarang ini sah?

9. Bagi saya, selaku seorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat dan seorang pengamal undang-undang berpendirian bahawa Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah tidak sah.

10. "Ampun Tuanku, saya nyatakan pendirian saya secara jujur dan ikhlas. Tiada niat untuk menghasut atau menderhaka"

11. Tetapi bolehkah perisytiharan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong itu dicabar di Mahkamah undang-undang?

12. Dengan rasa sedih tetapi demi ketelusan dan bersikap luhur, saya nyatakan apa yang Perlembagaan Persekutuan peruntukan di bawah Perkara 150 (8)(a) dan (b) seperti di bawah ini:

Fasal (8)(a):

“hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan;” dan

Fasal (8)(b):

“tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan-

(i) Sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1); “

11. Kesimpulannya, dari segi undang-undang, peruntukan Perkara 150(8)(a) dan (b) telah menyelamatkan Kerajaan Darurat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin apabila Proklamasi Darurat yang diumumkan semalam 12 Januari 2021 tidak boleh dicabar di Mahkamah.

12. Tetapi ada satu isu lain yang perlu dibahaskan seterusnya iaitu adakah Perdana Menteri Mahyuddin Yassin yang mengetuai sebuah kerajaan minoriti yang tidak mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat?

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

13 Januari 2021