RAKYAT KELANTAN BINA JAMBATAN GUNA BATANG KAYU, DUIT KERAJAAN NEGERI BELI MERCEDES BENZ



Penduduk Kampung Temalir di Kuala Krai terpaksa membina jambatan menggunakan batang kayu selepas aduan kepada pihak kerajaan negeri tidak menampakkan hasil yang sepatutnya.

Walau bagaimanapun, jambatan yang dibina oleh ‘jurutera kampung’ itu akan musnah dibawa arus deras setiap kali musim tengkujuh.

Sejak banjir besar melanda Kelantan pada 2014, orang kampung terus berharap kerajaan negeri membaik pulih jambatan sedia ada bukannya membina jambatan baharu.

Penduduk kampung tersebut, Jefriman Mohamed, 52, berkata, pihak yang berwajib akan datang untuk mengambil gambar selain ukuran itu dan ini.

Namun, beliau memberitahu, akhirnya jambatan yang diimpikan kira-kira 100 penduduk Kampung Temalir masih tidak menjadi kenyataan sekali gus mengecewakan mereka saban tahun.

Jefriman juga berpendapat tidak ada tindakan meyakinkan diambil termasuk daripada pihak wakil rakyat.

“Sudahnya kami orang kampung bina semula jambatan itu menggunakan pokok kelapa, kayu, pokok durian.

“Tapi biasalah, yang buat semua ‘jurutera kampung’, maka setiap tahun akan runtuh juga, akan hanyut juga dek banjir. 

“Setiap tahun jugalah kami perbaiki balik,” katanya dipetik Malaysiakini hari ini. 

Penduduk Kampung Temalir terpaksa membina jambatan kayu secara bergotong-royong pada Jun tahun lalu.

Pagi 7 Januari lalu, penduduk kampung menyedari jambatan yang digunakan hilang dari pandangan mereka selepas runtuh dihanyutkan arus deras banjir. Kawasan itu dilanda hujan lebat sejak 5 Januari lalu.

Akibatnya, penduduk terlibat tidak dapat keluar dari penempatan mereka untuk mendapatkan bekalan makanan.

Walaupun mereka mempunyai laluan alternatif tetapi hanya boleh dilalui oleh kenderaan jenis pacuan empat roda sahaja.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah memberitahu, pihaknya sudah mengambil maklum dan meneliti keperluan jambatan di kampung tersebut.

Jelasnya dipetik Malaysiakini, peruntukan pembangunan Kuala Krai yang diberikan kerajaan sudah disediakan dan ia termasuk rancangan pembinaan semula jambatan tersebut.

Pada Jun tahun lalu, lebih 20 penduduk mengumpul wang dan bergotong-royong memperbaiki laluan jambatan Kampung Temalir yang sebelum itu sempit selepas runtuh dihanyutkan arus deras.

Mohd Amar tahun lalu mengakui pembelian kenderaan Mercedes Benz menggunakan duit kerajaan negeri.

Untuk rekod, kerajaan negeri Kelantan pada Januari tahun lalu mengakui membeli 14 kereta mewah Mercedes Benz untuk kenderaan rasmi pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan Exco.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pembelian kenderaan itu dilakukan sejak 2018 hingga 2019 dengan yang terakhir untuk beliau sendiri dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Jelasnya, pembelian kenderaan rasmi itu menggunakan duit kerajaan negeri dan tiada kaitan langsung dengan peruntukan khas sebanyak RM400 juta oleh Kerajaan Pusat.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, kerajaan negeri membeli kereta baharu memandangkan kebanyakan kereta sudah digunakan lebih 10 tahun dengan ada Exco yang berhenti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) membeli kenderaan rasmi yang mereka gunakan.

Reaksi ADUN Panchor itu susulan tular kereta mewah jenama Mercedes Benz model terbaharu yang dipercayai kenderaan rasmi Menteri Besar Kelantan dan dikatakan bernilai hampir RM700,000. 

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin pada 1 Februari 2020 mendakwa harga sebenar kereta yang dibeli kerajaan negeri Kelantan bukannya RM700,000 seperti didakwa sebaliknya lebih murah daripada itu.

Jelasnya, kerajaan negeri membelanjakan RM3.5 juta untuk pembelian kereta rasmi yang mana untuk Menteri Besar harganya adalah RM320,000 manakala bagi exco dan barisan kepemimpinan yang lain adalah RM200,000 - Fazli Radzi