Sebaik sahaja Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Tok Pa) disahkan positif Covid 19 seharusnya menteri-menteri lain yang menjadi kontak rapat beliau melakukan kuarantin kendiri setelah melakukan ujian swab.
Menurt Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, hal itu sangat penting dilakukan menteri-menteri kabinet kerana ia akan menjadi ikutan para penjawat awam.
“Saya menggesa semua menteri yang telah bertemu dengan Tok Pa semasa mesyuarat kabinet dan urusan lain yang berkaitan dengan kerajaan untuk melakukan kuarantin kendiri kerana telah berhubung secara langsung dengan beliau.
“Pada masa pandemik, kepemimpinan menjadi contoh penting. Menteri harus memberikan contoh baik dengan menghentikan semua mesyuarat awam atau swasta (sekiranya menjadi kontak rapat) dengan segera dan kuarantin di rumah sehingga arahan selanjutnya oleh KKM,” katanya dalam catatan di Facebook.
Menurut Sim lagi, virus Covid boleh menjangkiti sesiapa sahaja dari menteri hingga petani. Oleh itu, penting untuk mengikuti SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kepada Mustapa, Sim berdoa agar menteri tersebut segera sembuh.
“Menteri Tok Pa adalah orang yang baik hati. Saya sedih mendengar bahawa dia dijangkiti Covid-19. Saya doakan Tok Pa cepat sembuh,” katanya lagi.