DARI FB wall A Kadir Jasin...
1. Inti pati berita ini adalah mengenai ketidakpuasan hati
sesetengah pemimpin tertinggi Umno dengan kepemimpinan parti itu dan sedang
berusaha mengubahnya.
2. Secara khusus mereka tidak mahu Ahmad Zahid Hamidi terus
menerajui parti. Mereka mahu beliau mengundurkan diri. Ahmad Zahid pernah
"bercuti" selama enam bulan mulai Disember 2018 tetapi kembali
menerajui parti itu pada 30 Jun 2019.
3. Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa dalam tempoh percutian
Ahmad Zahid itu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, yang memangku jawatan
Presiden, ternyata berkesan dan popular.
4. Setahun setengah selepas kembali menerajui Umno, parti itu
menjadi lebih teruk sehingga terpaksa menumpang Bersatu untuk kembali berkuasa.
5. Itu pun tidak membantu mengukuhkan Umno sebaliknya
memecahbelahkan lagi parti itu menjadi beberapa feksyen yang antaranya feksyen
pro-Bersatu iaitu mereka yang berjawatan Menteri, Menteri Besar, Timbalan
Menteri dan ahli lembaga GLC; feksyen Najib-Ahmad Zahid dan OKT; dan feksyen
Tok Mat.
6. Yang menjadi penghalang kepada penerimaan terhadap Umno dan
pemulihan sokongan kepada parti itu bukan jenama Umno. Umno adalah satu jenama
yang terkenal dan popular. Yang menjadi masalah adalah jurujualnya. Umno
memerlukan "sales team" baru.
7. Jadi gerakan baru yang mahu Ahmad Zahid kembali bercuti atau
berhenti terus adalah langkah yang lojik jika Umno mahu kembali menjadi
"force" dalam politik Malaysia.
8. Persoalannya adalah sama ada Umno bersedia mengambil
pendirian yang realistik demi kelangsungan atau terus setia membuta tuli kepada
kepimpinan yang membawa kekalahan kepada parti.
9. Dari segi keahlian, Umno masih parti terbesar yang mustahil
boleh ditandingi oleh mana-mana parti tapi ahlinya tidak lagi bermotivasi
kerana sukar mempertahankan kepemimpinan yang cemar dan mementingkan diri
sendiri.
10. Ini terbukti apabila mereka membuat rundingan dan
persetujuan sulit dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim setelah gagal
mendapat apa yang mereka harapkan daripada Perdana Menteri Muhyiddin Mohd
Yassin.
11. Ini adalah realiti politik Malaysia. Umno telah jadi macam
DAP. Tanpa penyertaan salah satu daripada mereka, sukar bagi mana-mana pakatan
menang pilihan raya dan menubuhkan kerajaan.
Wallahuaklam. Terima kasih.
- AKJ