Speaker akan selamatkan kerajaan ‘tebuk atap’ lagi?
FB Malek Husin
Selain Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan, aku turut telitikan Rang Undang-undang dan Usul-usul.
Menariknya, terdapat 25 usul bagi “mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat.” Usul-usul tersebut adalah daripada 11 MP Amanah, 7 MP Warisan, 5 MP Bebas (Pejuang), 1 MP DAP dan 1 MP Keadilan. Ringkasnya, 25 MP membawa usul undi tidak percaya terhadap PM Muhyiddin.
Manakala, terdapat 2 usul MP untuk mengambil ketetapan kepercayaan penuh terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, iaitu dari seorang MP PAS dan seorang MP UMNO. Hanya 2 MP bawa usul kepercayaan terhadap Muhyiddin.
Semua usul-usul ini hanya akan dikemukakan dalam Dewan Rakyat setelah selesai urusan kerajaan.
Paling utama urusan kerajaan dalam sidang ini ialah berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 yang dijadualkan dibentang pada Jumaat, 6 November 2020. Perbahasannya bermula Isnin, 9 November 2020 dan dijangka berakhir pada Khamis, 10 Disember 2020.
Menurut Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat, Rang Undang-undang Perbekalan akan dibahaskan selama tidak melebihi 20 hari, merangkumi 13 hari perbahasan di peringkat dasar dan 7 hari di peringkat jawatankuasa, sebelum Majlis memutuskan untuk meluluskannya pada 10 Disember 2020.
Kemudiannya jika tiada lagi urusan kerajaan, Dewan Rakyat boleh menimbang usul-usul tidak percaya terhadap PM Muhyiddin.
Aku menjangka pihak kerajaan akan penuhkan jadual pada hari-hari terakhir dengan mengemukakan apa saja rang undang-undang yang baharu atau usul untuk mengelakkan usul undi tidak percaya terhadap PM Muhyiddin dapat dibahas atau diambil ketetapan dalam Dewan Rakyat.