Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. serta Majlis Perbandaran
Selayang (MPS) berjaya mengawal pencemaran air di hulu Sungai Kuang berikutan
kebakaran besar yang memusnahkan sebuah kilang pemprosesan plastik pada petang
30 Oktober lalu.
Menurut Exco Pelancongan, Alam
Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian, tindakan
menangani pencemaran bau sekitar 3 ton dari sisa kebakaran kilang berkenaan
dilakukan dengan menggunakan bahan karbon aktif.
"Siasatan pihak LUAS dan Air
Selangor mendapati sisa kebakaran (yang mengalir ke sungai) telah membeku pada
permukaan air. Sisa kehitaman kesan bahan terbakar mengalir masuk ke alur air
di hulu Sungai Kuang sehingga menyebabkan kesan bau sekitar 3 ton melalui
pensampelan bau yang telah dilaksanakan. Jarak insiden ke muka sauk loji
rawatan air (LRA) terdekat iaitu di Rantau Panjang dalam anggaran 33km.
"LUAS dan Air Selangor
melaksanakan langkah awal nyah bau dengan meletakkan 43 beg activated carbon untuk mengawal pencemaran di Sungai
Kundang (aliran masuk daripada Sungai Kuang) sekali gus mengelakkan bau dari
sisa kebakaran tersebut mengalir sehingga ke Sungai Sembah dan seterusnya ke
Sungai Selangor. Dilaporkan pihak Bomba berjaya memadamkan kebakaran tersebut
sekitar jam 4.30 pagi.
"Sehingga kini, LUAS, Air Selangor
dan MPS sedang dalam proses untuk menghentikan sisa kebakaran daripada mengalir
ke dalam sungai melalui cadangan pembinaan ban tanah di lokasi," katanya
dalam satu kenyataan.
LUAS juga, kata Hee lagi, akan
mengeluarkan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122, Enakmen LUAS 1999
kepada kilang terlibat berkenaan risiko dan ancaman insiden berkenaan kepada
kualiti sumber air.
Hee turut mengesahkan tiada henti tugas LRA dan tiada gangguan
bekalan air kepada pengguna dilaporkan. Langkah-langkah mitigasi susulan,
katanya, akan dijalankan oleh LUAS bersama pihak-pihak terlibat.