Berbeza parti politik tidak bermakna orang Melayu berpecah. Bagi
orang parti cap agama, setelah wujud Muafakat Nasional (MN), orang Melayu
dianggap sudah bersatu, tidak lagi berpecah. Bagi parti itu, MN penyatu Melayu.
Orang Melayu tidak berpecah kerana berbeza parti politik. Jika
berbeza parti politik dianggap berpecah, maka sampai kiamat orang Melayu tidak
bersatu. Cuba beritahu, semenjak bila orang Melayu pernah bersatu jika logik
lebai parti cap agama dipakai?
Katakan orang Melayu dalam MN ada sejuta orang, bagaimana dengan
20 juta orang Melayu di luar MN? Takkan sejuta orang dianggap bersatu sementara
20 juta orang dianggap berpecah? Matematik apa lebai guna?
Penyatuan orang Melayu tidak berlaku melalui MN kerana dalam
konteks bernegara, penyatuan berlaku dalam kalangan orang Melayu bahkan dalam
kalangan rakyat melalui penghayatan Rukunegara.
Jika orang Melayu menghayati Rukunegara, dalam parti manapun
orang Melayu berada, mereka bersatu. Dakwaan kononnya orang Melayu bersatu
dengan kewujudan MN adalah dongeng yang dibawa oleh pemimpin parti cap agama
untuk menghalalkan keselingkuhan parti itu dengan kleptokrat.
Setelah lebai jual agama, kononnya kalau parti cap agama jadi
kerajaan hudud akan dibuat, penyebab kematian Adib akan ditangkap, pramugari
diwajib tutup aurat dan RUU 355 dipinda, dan jualan itu nampaknya tidak laku,
lebai beralih jual Melayu pula.
Konon-kononnya parti cap agama pimpinan lebai menyatukan orang
Melayu, padahal lebailah hakikatnya pihak yang menjahanamkan Melayu melalui
fahaman takfiri.
Lebai lupa itu semua? Bukankah dulu lebai lawan Umno kerana
kononnya Umno parti asabiah Melayu, kini lebai tampil jadi pejuang Melayu pula?
Sudah-sudahlah lebai bermain dengan retorik Melayu dan agama.
Orang Melayu tidak berpecah kerana berbeza parti politik dan MN bukan penyatu
orang Melayu.
Bahkan orang Melayu tidak perlukan MN untuk bersatu kerana orang
Melayu berada dalam negara yang punya Rukunegara.
Parti cap agama sudah kehabisan modal politik. Gayutan mereka
kepada Muhyidin semakin rapuh, menunggu masa untuk runtuh. Sementara boleh
bertongkat, disambarlah sana-sini pelbagai tongkat dan tongkat terakhir adalah
tongkat Melayu.
Kesian orang bukan Melayu dalam parti cap agama. Di depan mereka
lebai bercakap soal kemanusiaan merentas bangsa, tetapi di belakang mereka
lebai mainkan sentimen Melayu.
Saranan Ku Li supaya Umno mengkaji hubungan politik dengan parti
cap agama merumuskan bahawa Ku Li tahu sandiwara politik parti itu.
Ku Li bukan kenal parti cap agama sehari dua macam lebai yang
baru masuk parti itu tahun lepas, tapi Ku Li sudah masak dengan sandiwara lebai
parti itu.
USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN
.