Amanah menafikan sama sekali laporan yang mengatakan bahawa parti
itu bergelora dan berbelah bahagi, sebaliknya ahli parlimennya sebulat suara
menyokong Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana
Menteri.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata ahli parlimen partinya tidak pernah bersengketa soal calon Perdana Menteri, memandangkan mereka sudah pun membuat keputusan sebelum ini.
"Semua ahli parlimen Amanah telah pun menandatangani SD menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri, maka laporan FMT yang mengatakan seolah-olah pimpinan Amanah berbelah bahagi adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan.
"Parti Amanah hanya tidak bersetuju untuk menyerang dan mengutuk Dr Mahathir kerana kita menganggap pembangkang adalah dalam satu kumpulan dan kesatuan pembangkang perlu diusahakan untuk menjatuhkan kerajaan PN," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen.
Khalid juga menganggap terdapat pihak tertentu yang cuba memecahbelahkan pembangkang.
“Kami sokong Anwar tetapi kami berbeza dengan sesetengah pihak. Kita tak serang Dr Mahathir, tak serang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Warisan.
“Ada orang luar dari parti Amanah yang berusaha untuk laga-lagakan kami dengan harapan bahawa pembangkang akan berpecah belah. Ini satu tindakan yang tak bijak dan tak wajar.
Hubungan antara kami sebagai pembangkang perlu diperkukuhkan lebih lebih lagi dalam suasana untuk hadapi undi belanjawan, amanah berusaha dapatkan sokongan Mahathir, Shafie Apdal, supaya kita bergerak dengan satu suara.
"Jadi dakwaan bahawa kita belah bahagi itu adalah tidak benar, saya merasakan parti Amanah adalah yang paling bersatu dan paling padu, wallahualam," katanya.