Utamakan rakyat era Covid 19, bukan selamakan syarikat swasta - Fahmi


untitled image




Tindakan kerajaan 'tebuk atap' Perikatan Nasional (PN) membenarkan anak syarikat Khazanah Nasional Bhd, UEM Sunrise bergabung dengan EcoWorld dikecam oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH).

 Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, penggabungan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu dengan sebuah syarikat swasta yang dikatakan bermasalah tidak wajar berlaku dalam keadaan rakyat kesempitan hidup kesan pandemik Covid 19.

 "Pada ketika rakyat menderita menghadapi gelombang ketiga Covid 19 dan ekonomi suram, tindakan meneruskan penggabungan dua syarikat ini memberi gambaran berlakunya usaha menyelamat (bail-out) sebuah syarikat swasta menggunakan dana rakyat.

 "Setakat hari ini, nilai saham EcoWorld Berhad telah merudum ke RM0.39 berbanding RM1.40 lima tahun lalu. Keadaan hutang dan aliran tunai EcoWorld juga amat membimbangkan.

 "Jika diteruskan, tidak mustahil Khazanah dilihat sebagai ‘penyelamat’ EcoWorld apabila terpaksa memberi suntikan dana yang besar. Lebih-lebih lagi apabila kita diingatkan pasaran hartanah untuk beberapa tahun akan datang sudah pasti lemah.

 "Tambahan pula, beberapa penganalisa pasaran menyatakan jika diteruskan, pegangan saham Khazanah Nasional dalam UEM Sunrise Berhad akan berkurangan dari 66% kepada 43%, dan kehilangan kawalan ini adalah satu bentuk kerugian kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

 Bagi Fahmi, pendapat penganalisa pasaran yang menyatakan EcoWorld bukan rakan yang sesuai untuk bergabung dengan UEM Sunrise wajar diambil kira oleh kerajaan PN.

 Katanya, jika hujah itu mempunyai merit maka Khazanah tidak seharusnya diberi 'lampu hijau' melaksanakan penggabungan yang merugikan rakyat itu.

 "Dalam keadaan ekonomi yang belum pulih dan 745,000 warga Malaysia hilang kerja setakat Julai 2020, kerajaan melalui Khazanah Nasional tidak perlu terburu-buru dan wajib pertimbangkan semula kewajaran meneruskan penggabungan.

 "Kerajaan perlu berusaha lebih gigih untuk selamatkan rakyat, bukan syarikat swasta," katanya lagi.

 Untuk rekod, penggabungan anak syarikat Khazanah dan EcoWorld pernah diusahakan pada era pentadbiran Pakatan Harapan yang lalu. Bagaimanapun, rancangan itu dibantah keras oleh kebanyakan pemimpin PH menyebabkan ia gagal dilakukan.