Bekas Menteri Kesihatan dan
Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon meluahkan rasa terkilannya
apabila tidak ada menteri kesihatan dalam kerajaan baru Sabah yang diterajui
Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau menganggap perkara itu
amat membimbangkan kerana ketiadaan sebuah kementerian kesihatan di Sabah
sedikit sebanyak membebankan pengarah kesihatan negeri untuk menangani
penularan dan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak sehinggakan beberapa
daerah kini dikategorikan sebagai zon merah.
Malah, Sabah sering berdepan
dengan masalah kekurangan kakitangan perubatan.
"Kerajaan baru Sabah perlu
meneruskan portfolio Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat yang diwujudkan oleh
Warisan Plus sebelum ini.
"Wabak COVD-19 adalah
sesuatu yang serius dan memerlukan tindakan segera untuk menenangkan penduduk
di Sabah.
"Usaha di peringkat negeri
juga diperlukan untuk memastikan ada bantuan perubatan yang mencukupi dan
sampai tepat pada masanya. Seorang menteri akan memudahkan negeri ini
menguruskan hal-hal seperti itu.
"Seorang menteri kesihatan
yang berdedikasi di Sabah akan dapat memahami masalah yang dihadapi oleh
masyarakat dengan lebih baik," katanya seperti dilaporkan FMT.
Frankie yang juga pengerusi DAP
Sabah berkata, Sabah juga berdepan dengan masalah logistik iaitu jarak kawasan
yang jauh dari satu tempat ke satu tempat menyukarkan jabatan kesihatan untuk
menyalurkan bantuan perubatan.
“Sabah mempunyai 26 daerah di
mana keluasan negerinya hampir 40 peratus daripada Semenanjung, selain
mempunyai populasi yang ketiga terbanyak di Malaysia.
“Jadi kita perlukan seorang
menteri untuk bertindak dan menjaga hal kesihatan termasuk memastikan bantuan
perubatan mencukupi dan tiba tepat pada masanya.
“Justeru, perhatian dan
tindakan segera amat diperlukan bagi menenangkan rakyat di negeri ini. Menteri
Kesihatan akan lebih memahami keadaan dan seterusnya dapat membuat keputusan
yang betul," katanya.
Walaupun kerajaan negeri di
bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor baru sahaja dibentuk, rakyat Sabah
sudah mula mempersoalkan komitmen GRS.
Ini selepas barisan Kabinet
negeri Sabah masih belum lengkap dengan ketiadaan pelantikan menteri dan
pembantu di beberapa kementerian termasuk Menteri Kesihatan, walaupun kes
COVID-19 di Sabah meningkat setiap hari.