Berjuang hentikan ketidakcekapan urustadbir - AMK Johor



Malaysia tidak akan menjadi negara maju dengan urustadbir lemah dan politik yang berkecamuk seperti sekarang.

 Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Yuneswaran Ramaraj berkata, golongan belia di negara ini perlu menggembeling segenap kekuatan yang dimiliki untuk melakukan perubahan.

 Beliau yang juga Ketua AMK Tebrau berkata, belia adalah pemimpin pelapis yang akan mengambilalih pentadbiran negara suatu hari nanti. Oleh itu mereka seharusnya menggerakkan perubahan.

 "Kita tidak boleh menangguhkan (perubahan) atas sebab apa pun kerana kita sedang berusaha keras untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih baik.

 "Kita mesti bersatu seiring, berjuang sekuat mungkin dan menggunakan kekuatan sebanyak yang kita milikki untuk maju ke hadapan.

 "Ini adalah masa untuk melangkah dengan berani. Ini adalah rumah kita (negara kita) dan kita adalah generasi pelapis pada masa hadapan.

 "Setiap belia di negara ini bertanggungjawab untuk terlibat, membentuk semula dan membina negara bersama-sama," katanya dalam satu kenyataan.

 Berbanding kerajaan BN dan PN yang menekan golongan belia, KEADILAN perbendapat golongan itu wajar diberi lebih banyak peranan dalam menyumbang idea membangunkan negara.

 Pentadbiran baharu pimpinan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya menjadi kenyataan selepas Selasa ini, diharap akan memberi pengiktirafan yang lebih baik kepada golongan belia.