Terkilan kerajaan GRS Sabah tidak ada menteri kesihatan

 




Bekas Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon meluahkan rasa terkilannya apabila tidak ada menteri kesihatan dalam kerajaan baru Sabah yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

 Beliau menganggap perkara itu amat membimbangkan kerana ketiadaan sebuah kementerian kesihatan di Sabah sedikit sebanyak membebankan pengarah kesihatan negeri untuk menangani penularan dan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak sehinggakan beberapa daerah kini dikategorikan sebagai zon merah.

 Malah, Sabah sering berdepan dengan masalah kekurangan kakitangan perubatan.

 "Kerajaan baru Sabah perlu meneruskan portfolio Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat yang diwujudkan oleh Warisan Plus sebelum ini.

 "Wabak COVD-19 adalah sesuatu yang serius dan memerlukan tindakan segera untuk menenangkan penduduk di Sabah.

 "Usaha di peringkat negeri juga diperlukan untuk memastikan ada bantuan perubatan yang mencukupi dan sampai tepat pada masanya. Seorang menteri akan memudahkan negeri ini menguruskan hal-hal seperti itu.

 "Seorang menteri kesihatan yang berdedikasi di Sabah akan dapat memahami masalah yang dihadapi oleh masyarakat dengan lebih baik," katanya seperti dilaporkan FMT.

 Frankie yang juga pengerusi DAP Sabah berkata, Sabah juga berdepan dengan masalah logistik iaitu jarak kawasan yang jauh dari satu tempat ke satu tempat menyukarkan jabatan kesihatan untuk menyalurkan bantuan perubatan.

 “Sabah mempunyai 26 daerah di mana keluasan negerinya hampir 40 peratus daripada Semenanjung, selain mempunyai populasi yang ketiga terbanyak di Malaysia.

 “Jadi kita perlukan seorang menteri untuk bertindak dan menjaga hal kesihatan termasuk memastikan bantuan perubatan mencukupi dan tiba tepat pada masanya.

 “Justeru, perhatian dan tindakan segera amat diperlukan bagi menenangkan rakyat di negeri ini. Menteri Kesihatan akan lebih memahami keadaan dan seterusnya dapat membuat keputusan yang betul," katanya.

 Walaupun kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor baru sahaja dibentuk, rakyat Sabah sudah mula mempersoalkan komitmen GRS.

 Ini selepas barisan Kabinet negeri Sabah masih belum lengkap dengan ketiadaan pelantikan menteri dan pembantu di beberapa kementerian termasuk Menteri Kesihatan, walaupun kes COVID-19 di Sabah meningkat setiap hari.