𝗠𝗣 𝗢𝗧𝗔𝗞 𝗧𝗔𝗛𝗜 - 𝗦𝗜𝗟𝗔 𝗗𝗨𝗗𝗨𝗞 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗧𝗢𝗡𝗚 𝗦𝗔𝗠𝗣𝗔𝗛(SATIRA)



BOB KELANANG


Berhenti berebut kuasa wahai politikus. Berhenti meminta tarikh daripada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung dengan niat untuk menukar kerajaan. Berhenti. Jeda. Amaran ini bukan untuk kamu satu orang tetapi juga untuk kamu yang mengancam rakyat dengan rotan. Untuk kamu semua, mengerti?
Sekarang, selepas jeda; kamu semua wajib duduk semeja. Jika kalian, ahli politik tua 70-an yang meniti hari-hari untuk mati masih tidak mahu duduk semeja: Maka kalian boleh jalan. Pintu keluar untuk kalian. Pergi main golf jauh-jauh di Desaru. Yang kleptokrat dan berderet kes mahkamah sila juga diam. DIAM. Kalian tidak diperlukan. Kalian mengaibkan negara. Kalian mengecewakan kami.
Di Ukraine, rakyat menunjukkan isyarat jelas; kalau ahli politik terus main taik, maka mereka boleh dihumban ke dalam tong sampah. Pada 17 September 2020 lalu rakyat Ukraine beramai-ramai mendorong politikus Vitaly Zhuravsky ke dalam tong sampah besar. Kalau tidak mahu duduk semeja dan memikir masalah rakyat, sila masuk dalam sampah. Sambil melakukannya, rakyat berteriak, “Kami menghuni negara yang darah sedang tumpah kerana kamu.”
Ahli politik harus berhenti main politik. Bukan harus, wajib. Rakyat sedang nanar kehilangan pekerjaan. Rakyat sedang menggelupur berdepan dengan dunia yang sama sekali berbeza. Kalau kalian ahli politik tidak mahu memikirkan perihal kami rakyat, kalian boleh keluar. Masuk tong sampah lebih baik.
Kami, rakyat mahu politikus yang negarawan. Yang boleh duduk semeja ketika krisis. Yang memikirkan urusan rakyat tanpa memilih-milih. Tanpa main politik. Berhenti main taik. Berhenti main politik kotor. Politik urusan untuk memberi khidmat kepada kami rakyat. Bukan berebut kuasa utnuk mengisi jawatan menteri atau GLC.
Jadi jika kalian betul ingin bekerja untuk kami rakyat, sila duduk semeja. Dan sekarang dengar. Negara ini memerlukan satu gerakan damai dari terus runtuh dan roboh, faham? Mengerti?
Kita sedang berperang. Covid-19 musuh kita. Apabila saya menggunakan ganti nama kita, ia bermaksud semua – kita – tanpa mengenal warna kulit, jantina, kepercayaan, dan faham politik. Kerja kita harus terpusat kepada satu; menumpaskan musuh yang tidak dapat kita lihat iaitu Covid-19. Seruan jeda, atau gencatan, boleh juga digunakan istilah pause. Ia seruan yang murni dan bijak. Ia seruan tidak beremosi yang matang.
Pada 3 April 2020, kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) mengumumkan tindakan gencatan senjata. Ia adalah sesuatu yang janggal dilakukan memandangkan mereka biasa berjuang. Namun niat BRN itu jelas, agar akses bantuan perubatan dan kemanusiaan buat penduduk di wilayah yang terjejas akibat Covid-19 dapat dilakukan. BRN, dalam kenyataan mengumumkan pandemik Covid-19 yang meragut beberapa nyawa di wilayah Patani “musuh utama umat manusia”. BRN percaya diri mereka sebagai “pelindung kepada Negara Patani”, justeru “kesusahan yang dihadapi penduduk di Patani” ekoran krisis politik tidak terus diburukkan lagi dengan operasi melawan yang tidak kunjung henti.
Ini pilihan dan keputusan matang, nampak tak wahai politikus?
Kemudian, pada 27 Mei 2020 lalu, di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, menyeru kepada jeda, gencatan, atau pause agar semua pihak bertikai kembali kepada satu tekad. Iaitu tekad moral untuk melindungi warga sivil khususnya mereka yang tersepit di wilayah konflik memandangkan musuh utama untuk semua manusia yang sedang bertikai ini adalah wabak Covid-19. Indonesia misalnya melihat wilayah seperti Yemen yang kian dilutu dan dirotan Arab Saudi sebagai bernasib malang memandangkan ia terkapai-kapai perlu melawan Covid, tetapi dalam masa yang sama juga lelah melawan taburan peluru.
𝗠𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘁𝗶? 𝗙𝗮𝗵𝗮𝗺?
Di Malaysia, kita juga berdepan dengan kemelut yang tidak kunjung henti. Kemelut yang dimaksudkan adalah perebutan kuasa politik. Mandat rakyat pada 2018 yang memberikan kuasa kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk menghukum kleptokrat dirampas oleh segelintir 𝗽𝗼𝗹𝗶𝘁𝗶𝗸𝘂𝘀 𝘁𝗮𝗺𝗮𝗸. Langkah Sheraton dilakukan tanpa segan silu di tengah-tengah wabak Covid-19 yang sedang mendera. Tidak cukup itu, sebaik sahaja perintah kawalan pergerakan dilonggarkan, perebutan kuasa di Sabah pula berlaku.
Tindakan sesetengah polikatak mengubah parti mendorong pembubaran Dewan Undangan Negeri yang menghasilkan pertempuran sengit. Malang sekali pertempuran sengit itu tidak menjanjikan kelebihan dan kebaikan yang diimpikan kerana wabak Covid-19 menular dengan demikian pantas. Berapa angka kes hari ini? Berapa? Kalian politikus suka nak tengok kami rakyat mati?
Jadi jika kalian betul ingin bekerja untuk kami rakyat, sila duduk semeja. Dan sekarang dengar. Negara ini memerlukan satu gerakan damai dari terus runtuh dan roboh, faham? mengerti?
Kalau kemaruk main golf sila ke tepi, kami rakyat tidak berminat untuk meletakkan mana-mana politikus di atas kerusi menteri agar kami kian ditindas dan tidak dipeduli.
Negara ini memerlukan pembetulan selepas Langkah Sheraton. Untuk itu, mereka yang boleh duduk semeja bukan muka-muka khianat tetapi muka-muka yang memang ingin mengembalikan kesejahteraan untuk negara.
Ketua negara boleh memanggil sebuah kerajaan – sementara – yang terdiri dari negarawan pelbagai bidang untuk duduk semeja. Mereka ini boleh jadi di luar kerangka politik kepartian. Ini kerana mereka memang mahu membaiki negara, dan menyelamatkan Malaysia dari karam. Kita bukan ketandusan pakar.
Kita sedang berdepan dengan pandemik yang dahsyat. Kita tidak boleh terus bergasak, kami rakyat memerlukan negarawan. Bukan abah. Bukan paklong, bukan juga politikus perasan selepas terlepas kapal 3 kali.
Rakyat mahu negarawan. Bukan ahli politik bertengkar saling berbantah. Kami juga tidak mahu penyamun dan penyangak yang telah kami tunjukkan pintu keluar.
Berhenti, jeda, atau pause. Berikan kami hak kami sebagai rakyat, hidup sejahtera dan aman. Berkhidmat untuk kami rakyat. Duduk semeja atau kami buang kalian dalam tong sampah.
Buat sekarang; yang pasti meningkat ialah angka Covid, jangan tunggu lebih ramai mati.
Faham, mengerti?