Kes Covid tinggi, tidak mungkin PRU tahun 2020
Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum ke 15 akan diadakan dalam masa terdekat biarpun PM Muhyiddin Yassin berjanji akan melaksanakannya jika Perikatan Nasional menang di Sabah.
Katanya kes Covid 19 yang tinggi, jangkitan dari Pilihan Raya Negeri Sabah akan menyebabkan rakyat marah sekiranya Kerajaan PN tetap mahu membubarkan Parlimen pada tahun ini.
“Saya percaya tiada kemungkinan Parlimen dibubarkan untuk PRU15 tahun ini ataupun awal tahun 2021 kerana wabak Covid-19 masih menular. Kes jangkitan dan kes kematian juga bertambah. Kalau Parlimen dibubarkan, maka ia adalah satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab.
“Faktanya sesuatu pilihan raya umum akan melibatkan pergerakan dan aktiviti secara besar-besaran di seluruh negara. Sebagai contoh rakyat yang pulang untuk mengundi.
“Oleh itu, saya menjangka tiada PRU15 dalam tahun ini ataupun tahun depan. Kesihatan rakyat perlu diutamakan,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Mengulas kemenangan PN di Sabah, Dr Dzul berkata kemenangan itu tidak begitu besar dalam sebuah DUN yang mempunyai 73 kerusi.
Malah, katanya, kemenangan di Sabah tidak boleh menjadi kayu ukur bahawa PN akan berjaya mengekalkan kerajaan pusat sekiranya PRU diadakan.
“Kerajaan PN tidak boleh rasa begitu yakin bahawa mereka akan menang PRU15 dalam masa yang akan datang sebab situasi ekonomi masih lembab dan ramai graduan akan sukar dapat kerja.
“Orang yang ada kerja pula tidak mendapat gaji asal mereka. Ada juga orang yang telah mula berniaga secara kecil-kecilan untuk mencari sedikit wang perbelanjaan harian kerana mereka gagal dalam usaha mencari kerja.
“Semua ini menunjukkan bahawa pendapatan rakyat sudah menurun dan kos sara hidup juga telah mengalami peningkatan.
“Dengan kewujudan Covid-19, tiada kepastian dalam semua situasi. Berdepan dengan senario yang suram ini, adalah sukar untuk rasa terlalu yakin dalam mana-mana pilihan raya umum,” katanya lagi.