Rakyat tak mahu lihat ‘sindrom antara dua darjat’


Rakyat tidak mahu melihat sindrom ‘antara dua darjat’ seperti kes Menteri Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang dikenakan ‘denda manja’ RM1,000 kerana tidak melakukan kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini sedangkan seorang makcik berumur 72 tahun dihadapkan ke mahkamah dan didenda RM8,000 serta penjara sehari.

“Timbul tanda tanya kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau tidak perlu memakai gelang pengawasan kerana hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari.

“Ini kerana dalam keadaan serupa, rakyat biasa perlu pakai gelang pengawasan berwarna putih sebagai langkah keselamatan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,” katanya di laman Facebook hari ini.

Muhyiddin pada sidang media Perutusan Khas Situasi Semasa Covid-19 Selasa lalu berkata, tiada istilah dwi-standard (double standard) diamalkan dalam arahan kuarantin di rumah seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Susulan kenyataan itu, nama Khairuddin dikatakan menjadi sebutan ramai ekoran kes melanggar perintah kuarantin kendiri selepas kembali dari kunjungannya ke Turki pada Julai lalu.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya dilaporkan sebagai berkata, Perdana Menteri tidak perlu memakai gelang pengawasan kerana hanya menjalani kuarantin kendiri dan kenyataan tersebut menambah, ia adalah atas nasihat KKM.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, beliau juga di antara rakyat biasa yang diwajibkan memakai gelang pengawasan berwarna putih kerana menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari mulai 26 September.

“Sebaik saya pulang dari Sabah pada 26 September 2020, saya telah menjalani ujian COVID-19 pada 27 September dan 2 Oktober 2020. Kedua-dua keputusan ujian adalah negatif. Akan tetapi saya masih diperlukan memakai gelang pengawasan berwarna putih sehingga tamat kuarantin kendiri di rumah,” katanya.