Kemelut
politik menjelang majlis mengadap Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim
bertemu Yang di-Pertuan Agong (YDP) pada 13 Oktober ini bagi mempersembahkan
majoriti Ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya tidak perlu dikecamukkan oleh
pandangan-pandangan yang tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pakar
undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari berpendapat penganalisis politik yang
cuba membayangkan beberapa pilihan yang boleh diambil ketika mana Datuk Seri
Anwar telah sahih mempunyai majoriti mencukupi adalah tidak relevan di sisi
Perlembagaan.
Katanya,
pilihan yang ada hanyalah Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak
jawatan atau mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan
Parlimen.
"Perlembagaan
mengatakan sekiranya PM hilang sokongan, (beliau) ada dua pilihan, pertama
letak jawatan, kedua memohon Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong bubar dewan
(Parlimen) tetapi kalau permintaan itu ditolak PM mesti letak jawatan.
"Saya
hairan ada (penganalisis politik) yang mengatakan sekarang ini berbeza dengan
situasi sebelum ini, apabila PM Dr Mahathir (Mohamad) meletak jawatan. Sekarang
(masih) ada PM, iaitu Muhyiddin Yassin.
"Itu
tidak relevan, sekiranya hari Selasa (13 Oktober) ini Datuk Seri Anwar dapat
membuktikan beliau cukup sokongan, kerajaan Muhyiddin jatuh dengan sendirinya
dan dia kena letak jawatan," katanya dalam sesi siaran langsung Facebook
malam tadi.
Mantan
profesor kuliah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu juga
berpendapat sekiranya raja-raja Melayu perlu dirujuk dalam proses melantik
Perdana Menteri maka hal itu perlu dilakukan sebelum 13 Oktober bagi membuka
jalan kepada beberapa penyelesaian.
Mengulas
sama ada perlunya sidang khas Parlimen dipanggil bagi melaksanakan 'Undi
Percaya' terhadap Datuk Seri Anwar, Dr Aziz berkata perkara tersebut tidak
timbul dalam konteks kuasa melantik PM oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Kemudian
disebut (dalam laporan media) pilihan memanggil (sidang khas) Parlimen dan
meminta Parlimen menguji atau menentukan majoriti (yang dimiliki Anwar) itu
betul atau tidak.
"Itu
tidak perlu kerana peranan atau kuasa Yang di-Pertuan Agong habis apabila PM
dilantik. Parlimen tiada kena mengena (dalam isu perlantikan)
"Ada
beberapa perkara yang (penganalisis politik) lupa (bahawa) kerajaan dalam
konteks wesminister tidak menjawab kepada Istana. Kerajaan menjawab kepada
Parlimen.
"Mahu
tidak mahu, selepas ini Datuk Seri Anwar akan diuji di Parlimen. Tak perlu
panggil (sidang khas) Parlimen untuk menguji.
"Jika
terbukti Akuan Berkanun (SD) tidak palsu dan Yang di-Pertuan Agong yakin dan
tidak ragu maka tiada pilihan, (Datuk Seri Anwar) dilantik sebagai PM.
"Terpulang
kepada Parlimen tentukan Anwar boleh menjalankan kerajaan atau tidak. Itu yang
ditulis dalam buku-buku di seluruh dunia yang menghuraikan prinsip kerajaan
dalam demokrasi berparlimen," katanya lagi.
Dalam
pada itu, ADUN Tebing Tinggi itu juga melahirkan kekesalan terhadap laporan
sesetengah media massa yang seolah-olah cuba mengelirukan tafsiran Perlembagaan
Persekutuan. Sedangkan katanya, Perlembagaan amat jelas dalam hal melantik
kerajaan.
Beliau
menasihatkan media agar mendidik rakyat supaya lebih memahami sistem
berkerajaan bukan sebaliknya mengelirukan pendapat umum.