Sokongan
rakyat Sabah terhadap Warisan Plus bagi ahli politik Semenanjung yang membantu
kempen dianggap sangat mengujakan, dalam situasi negeri itu tertekan oleh
kempen besar-besaran kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut
Naib Pengerusi DAP Selangor, Ng Suee Lim, dalam pertarungan sengit Warisan Plus
melawan BN dan PN, naratif kempen yang dibawa DAP ialah peluang orang Sabah
untuk memilih kerajaan yang mengotakan janji manifesto.
Katanya,
rakyat juga diyakinkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menyulitkan itu tidak
sepatutnya berlaku jika pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal tidak
diganggu gugat, dan untuk itu rakyat Sabah wajar memberi beliau peluang
meneruskan khidmatnya memperbaiki tahap sosio-ekonomi.
"PRN
ini sengit. Oleh itu pihak kami, Warisan-PH akan cuba sedaya-upaya berkempen
sehingga hari Jumaat, 25 September bagi meraih sokongan. Setakat ini, sambutan
terhadap parti Warisan boleh dikatakan baik dan memberi harapan.
"Apa
yang kami tekankan sekarang ialah PRN diadakan akibat sikap puak tidak
bertanggungjawab mahu merampas mandat rakyat yang diberikan kepada Shafie dalam
pilihan raya lalu.
"Tanpa
puak itu, tidak perlu PRN. Oleh yang demikian, langkah yang betul ialah
mengembalikan sekali lagi mandat kepada Shafie Apdal dan Warisan (untuk
memenuhi janji pilihan raya)," kata Ng dipetik.
Bagaimanapun
menurut ADUN Sekinchan itu, beliau rasa terkilan apabila media arus perdana
yang mula bebas pada era Pakatan Harapan kini kembali kepada sikap lama apabila
mempropagandakan kononnya 'PN hampir pasti memenangi PRN Sabah' dalam laporan
berita.
Katanya,
biar pun kerajaan PN yakin menang di Sabah namun rakyat negeri itu lebih
bijaksana dan mereka mahu memilih kerajaan yang mengotakan janji berbanding parti-parti
yang pernah memerintah tetapi tidak mengeluarkan rakyat dari lembah kemiskinan.
"Memang
Kerajaan PN amat yakin mereka boleh menang tetapi apa yang penting ialah
koalisi mana yang mampu menjalankan urustadbir dengan sempurna serta memberi
lebih manfaat kepada rakyat?
"Dari
Mei 2018 hingga Julai 2020 pentadbiran negeri Sabah di bawah Shafie Apdal telah
menjalankan tugas dengan baik. Justeru, saya tidak nampak apa-apa masalah untuk
rakyat Sabah berpihak kepada Shafie pada hari mengundi nanti," katanya
lagi.
Dalam
tinjauan terbaharu, Warisan Plus dilaporkan mendapat sokongan padu di sebelah
Pantai Timur Sabah.
Dasar
Shafie memberi geran tanah kepada penduduk tempatan sangat popular kerana dasar
kerajaan sebelum ini tanah dimonopoli oleh pemimpin politik dan dianugerahkan
kepada pemodal besar untuk tujuan perladangan kelapa sawit, balak atau tapak
komersial.