Calon KEADILAN bagi kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, Peto Galim sudah menetap di Inanam selama
54 tahun, sejak beliau dilahirkan di Kampung Tombongan, Menggatal.
Beliau dan ibu bapanya berasal
dari kaum Dusun, dan sudah memahami segala masalah yang dihadapi rakyat di
Inanam, tidak seperti calon yang tidak lahir dan membesar di kawasan itu.
"Saya lahir di Inanam, ibu
bapa saya orang Dusun, saya kenal dengan orang Menggatal dan saya kenal dengan
orang Inanam, saya tahu apa masalah mereka sebab saya sudah lebih 50 tahun
menetap di sini.
"Hakikatnya jelas
merugikan penduduk apabila ada pemimpin luar diangkat melakukan kerja di Inanam
dan gagal melaksanakan. Rata-rata orang Inanam tidak puas hati dengan orang
luar yang mewakili kawasan ini.
"Tapi saya sebagai orang
Inanam, orang Menggatal dan orang Dusun, saya akan menjadi wakil rakyat untuk
semua," katanya.
Beliau menceburi bidang
kejuruteraan elektrik namun membuat keputusan untuk bergerak aktif dalam
politik dengan menyertai KEADILAN pada 2007, walaupun parti itu masih belum
mempunyai ahli yang ramai di Sabah ketika itu.
"Saya senyap-senyap masuk
politik dan menyertai KEADILAN kerana ideologi dan perjuangan parti ini jelas
iaitu membela keadilan untuk semua.
"Malah, Warisan Plus
menjunjung perjuangan ini dan gabungan ini mengangkat kepentingan semua rakyat
demi masa depan anak-anak Sabah.
"Pengundi juga semakin
bijak dan pandai menilai, rakyat tahu dan boleh membaca sama ada perjuangan
kita jelas atau tidak.
"Jadi marilah kita
berlawan secara sihat, biar rakyat menentukan berdasarkan fakta, misi kita dan
perjuangan kita," katanya.
\
Peto juga dilihat mempunyai
rancangan jelas untuk membangunkan Inanam sekiranya terpilih sebagai wakil
rakyat pada hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26
September ini.
"Perancangan penduduk luar
bandar harus diberikan pembelaan sewajarnya seperti dalam menceburi bidang
perniagaan. Sama juga dengan isu telekomunikasi, jaringan jalan raya serta
peluang pekerjaan harus diutamakan.
"Saya akan
bersungguh-sungguh mencari jalan menyelesaikan masalah kronik contohnya banjir,
kesesakan lalu lintas, perparitan dan kebersihan, kita akan menyelesaikan
masalah ini walaupun akan mengambil masa. Ini semangat yang kita ada,"
katanya.
Peto juga tidak tergugat dengan
saingan 10 penjuru di DUN Inanam, sebaliknya yakin pengundi akan memilih wakil
rakyat yang paling sesuai untuk berkhidmat di kawasan itu.
"Orang Sabah semakin bijak
dan intelek. Walaupun DUN Inanam sampai 10 calon bertanding, tapi kalau
perjuangan kita jelas, rakyat akan bijak memilih.
"Walaupun ada calon dari
kalangan bekas Yang Berhormat, itu sedikit pun tidak menggusarkan saya.
"Kita cuma perlu
meyakinkan rakyat mengenai perjuangan kita dan pemerintahan kerajaan Warisan
Plus sebelum ini terbukti berjaya. Saya yakin boleh bawa suara rakyat di
Inanam," katanya.