Peto Galim fahami masalah rakyat, lebih 50 tahun menetap di Inanam

 

 


Calon KEADILAN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, Peto Galim sudah menetap di Inanam selama 54 tahun, sejak beliau dilahirkan di Kampung Tombongan, Menggatal.

 Beliau dan ibu bapanya berasal dari kaum Dusun, dan sudah memahami segala masalah yang dihadapi rakyat di Inanam, tidak seperti calon yang tidak lahir dan membesar di kawasan itu.

 "Saya lahir di Inanam, ibu bapa saya orang Dusun, saya kenal dengan orang Menggatal dan saya kenal dengan orang Inanam, saya tahu apa masalah mereka sebab saya sudah lebih 50 tahun menetap di sini.

 "Hakikatnya jelas merugikan penduduk apabila ada pemimpin luar diangkat melakukan kerja di Inanam dan gagal melaksanakan. Rata-rata orang Inanam tidak puas hati dengan orang luar yang mewakili kawasan ini.

 "Tapi saya sebagai orang Inanam, orang Menggatal dan orang Dusun, saya akan menjadi wakil rakyat untuk semua," katanya.

Beliau menceburi bidang kejuruteraan elektrik namun membuat keputusan untuk bergerak aktif dalam politik dengan menyertai KEADILAN pada 2007, walaupun parti itu masih belum mempunyai ahli yang ramai di Sabah ketika itu.

 "Saya senyap-senyap masuk politik dan menyertai KEADILAN kerana ideologi dan perjuangan parti ini jelas iaitu membela keadilan untuk semua.

 "Malah, Warisan Plus menjunjung perjuangan ini dan gabungan ini mengangkat kepentingan semua rakyat demi masa depan anak-anak Sabah.

 "Pengundi juga semakin bijak dan pandai menilai, rakyat tahu dan boleh membaca sama ada perjuangan kita jelas atau tidak.

 "Jadi marilah kita berlawan secara sihat, biar rakyat menentukan berdasarkan fakta, misi kita dan perjuangan kita," katanya.

\

Peto juga dilihat mempunyai rancangan jelas untuk membangunkan Inanam sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat pada hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

 "Perancangan penduduk luar bandar harus diberikan pembelaan sewajarnya seperti dalam menceburi bidang perniagaan. Sama juga dengan isu telekomunikasi, jaringan jalan raya serta peluang pekerjaan harus diutamakan.

 

"Saya akan bersungguh-sungguh mencari jalan menyelesaikan masalah kronik contohnya banjir, kesesakan lalu lintas, perparitan dan kebersihan, kita akan menyelesaikan masalah ini walaupun akan mengambil masa. Ini semangat yang kita ada," katanya.

 Peto juga tidak tergugat dengan saingan 10 penjuru di DUN Inanam, sebaliknya yakin pengundi akan memilih wakil rakyat yang paling sesuai untuk berkhidmat di kawasan itu.

 "Orang Sabah semakin bijak dan intelek. Walaupun DUN Inanam sampai 10 calon bertanding, tapi kalau perjuangan kita jelas, rakyat akan bijak memilih.

 "Walaupun ada calon dari kalangan bekas Yang Berhormat, itu sedikit pun tidak menggusarkan saya.

 "Kita cuma perlu meyakinkan rakyat mengenai perjuangan kita dan pemerintahan kerajaan Warisan Plus sebelum ini terbukti berjaya. Saya yakin boleh bawa suara rakyat di Inanam," katanya.