Perobohan rumah sewaktu Covid 19 merisikokan rakyat - Prabakaran



Cadangan sebuah syarikat pemaju hartanah untuk merobohkan beberapa unit rumah di Jalan Langgak Bukit, Setapak, Kuala Lumpur dalam suasana negara masih berhadapan pandemik Covid 19 dianggap sebagai tindakan kurang wajar.

Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran berkata, pihak pemaju seharusnya menunggu sehingga 31 Disember 2020 apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tamat sebelum meneruskan tindakan.

Katanya, sekiranya rumah penduduk dirobohkan dan mereka tiada tempat tinggal sesuai maka akan timbul risiko penduduk dijangkiti virus Covid 19.

"Isunya ramai di sini adalah golongan B40, mereka tiada duit mahu pindah. Tahun lepas selepas berbincang dengan pihak pemaju mereka setuju bagi pampasan RM100,000 untuk penduduk berkongsi wang tersebut (bagi tujuan perpindahan).

"Sekarang kita cadang kepada pemaju jangan roboh hari ini, kalau boleh hingga hujung tahun. Jika ada yang telah berpindah, pemaju boleh roboh rumah yang telah kosong.

"Namun pemaju mahu roboh semua rumah hari ini. Jadi sekarang kita mengadakan protes. Kita dalam suasana PKPP, penduduk pula golongan B40, jadi jangan desak mereka.

"Macam mana mahu paksa satu kampung keluar macam itu sahaja. Ada orang tua, OKU dan kanak-kanak," katanya dalam sidang media di salah sebuah rumah penduduk.

Sehubungan itu, Prabakaran mahu pemaju lebih bersikap prihatin kerana penduduk terbabit tidak menentang perpindahan tetapi mereka perlukan lebih banyak masa untuk berpindah.
 

Penduduk juga, kata Praba, perlukan bantuan segera dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyediakan rumah awam Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk dihuni.

"Bukan penduduk tak mahu berpindah, ada yang masih tunggu kunci, ada tunggu surat tawaran dari DBKL. Juga tak ada duit nak pindah, kita minta masa sahaja.

"Ada yang sudah dapat kunci tetapi pergi ke unit PPR, mereka dapati orang lain pula yang tinggal di unit mereka," katanya lagi.

Menurut Praba, beliau telah memperjuangkan isu perumahan penduduk di situ sebelum ini dan berjaya mendapatkan 10 buah rumah PPR.

Katanya, jika pihak pemaju memberi penangguhan maka keluarga berkenaan akan keluar dengan baik dan berpindah ke rumah yang disediakan kerajaan tanpa bantahan.

Terdapat lebih 10 keluarga yang menetap di Jalan Langgak Bukit tersebut dan mereka telah mendiami kawasan berkenaan sejak 40 tahun lalu.


No comments: