Mungkinkah PRU 15 dalam suasana PKPP?
Perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga ke 31 Disember 2020 bagi sesetengah penganalisis politik membayangkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 tidak akan diadakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam tahun ini.
Hujah mereka, kos PRU akan melambung sekali ganda mencecah RM1 bilion dengan SOP penjarakan fizikal dan penyediaan alatan pembasmi kuman.
Namun bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew, PRU boleh diadakan pada bila-bila masa yang diperlukan sekiranya tujuan PRU untuk memperoleh mandat baharu dari rakyat di bawah sistem demokrasi.
Cuma beliau khuatir PRU dalam waktu pandemik Covid 19 belum berakhir akan lebih menguntungkan pihak PN.
“Kalau PRU 15 diadakan dalam tempoh PKPP ini, saya berharap semua pihak tidak kira parti kerajaan ataupun parti pembangkang akan diberi layanan yang adil dan saksama oleh pihak berkuasa dari segi permatuhan SOP-SOP (Standard Operasi Prosedur) yang telah ditetapkan bagi tempoh berkempen. Ini adalah matlamat yang penting sekali untuk sebuah negara demokrasi berParlimen seperti Malaysia.
“Negara-negara seperti Korea Selatan dan Singapura sudah pun mengadakan PRU mereka masing-masing dalam bulan April dan Julai tahun ini dan semuanya telah berjalan dengan lancar dan sempurna.
“Kita yang selalu menguar-uarkan Malaysia sebagai negara demokrasi unggul patut menyerlah di pentas antarabangsa dalam semua hal berkaitan dengan sistem demokrasi,” kata Ronnie Liu kepada Suara Pakatan Daily.
Selain itu, katanya, media arus perdana juga wajib memberi liputan yang sama rata kepada parti-parti pembangkang. Begitu juga dengan pakar-pakar atau penganalisis politik wajar memberi komen yang adil dan seimbang terhadap semua calon atau parti yang bertanding.
Sekiranya semua pihak memberi layanan yang adil, menurut Ronnie, Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai peluang untuk menang PRU 15.
“Berkenaan dengan peluang PH, bagi saya kewibawaan, prinsip dan etika calon adalah amat penting. Calon-calon yang telah melompat parti atau melompat koalisi wajar ditolak sebab mereka telah memusnahkan amalan dan prinsip demokrasi dengan tindakan mereka itu,” katanya lagi