Negara mula tanggung bahana penyelewengan SRC?
Namun, yang kita dengar semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, duit itu Najib belanja untuk bermewah-mewah dan berfoya-foya di merata dunia dengan anak isteri dan kawan-kawan beliau. Berpuluh-puluh orang saksi memberi keterangan bersumpah kepada mahkamah bahawa Najib tahu duit itu masuk ke dalam akan peribadinya dan secara sedar belanja duit tersebut.
Tapi sampai akhir, apabila kedudukannya ibarat telur di hujung tanduk, Najib tetap kata beliau tidak tahu. Macam kata hakim perbicaraan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Najib tidak sikit pun tunjuk rasa bersalah atau menyesal.
Tidak hairanlah jika Mohd Nazlan menyifatkan kes Najib sebagai kes penyalahgunaan kedudukan dan pengkhianatan amanah yang sangat buruk.
Buktinya terlalu jelas sehingga barisan pembelaan yang cukup hebat itu pun gagal menimbulkan keraguan yang berpatutan. Kesudahannya, pada 28 Julai lalu, Najib didapati bersalah atas semua tujuh tuduhan ke atasnya.
Dalam sistem kehakiman, beban pembuktian adalah lebih ringan ke atas orang kena tuduh, manakala pendakwa raya wajib membuktikan di luar sebarang keraguan (beyond reasonable doubt) bahawa Najib bersalah. Pihak pembela hanya perlu membuktikan keraguan yang berpatutan.
Itu pun mereka tidak berdaya. Bukti kesalahan terhadap Najib terlalu kuat, jelas dan di luar sebarang keraguan.
Kita kena ingat, Najib bukanlah ibu tunggal atau bapa menganggur yang dituduh mencuri roti kerana anak di rumah kelaparan.
Najib dilahirkan dalam serba kesenangan, anak Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang sangat dimuliakan, belajar lama di England, menang pilihan raya kecil tanpa bertanding pada usia 22 tahun, Orang Besar Empat Pahang, bekas Menteri Besar termuda dan bekas Perdana Menteri serta Menteri Kewangan.
Beliau tidak menghadapi hakim berseorangan. Beliau diwakili pasukan pembelaan yang diketuai peguam tersohor, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. Tetapi oleh sebab bukti terhadap Najib terlalu banyak dan kuat, maka peguam sehebat Muhammad Shafee pun gagal menimbulkan keraguan berpatutan bagi membebaskannya.
Di sini, bukan pencurian RM42 juta duit SRC itu sahaja yang perlu diperhitungkan. Tidak kurang pentingnya adalah kesan perbuatan itu terhadap akhlak, ketamadunan dan kewangan negara.
Ia juga mendedahkan sikap tidak peduli Najib dan pastinya bukan contoh serta teladan yang hendak kita tunjukkan kepada anak cucu, apatah pada saat-saat pemimpin Melayu begitu ghairah bercakap tentang maruah, pemerintahan Melayu-Islam dan melaungkan slogan demi agama, bangsa serta negara.
Setelah meminjam sebanyak RM4 bilion daripada tabung pencen kakitangan awam, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), SRC International tidak dapat membuktikan apa-apa projek.
Cuma, kita dimaklumkan ketika perbicaraan Najib bahawa 90 peratus jumlah itu digunakan untuk membeli saham di luar negara, RM250 juta untuk kegiatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Masalahnya, sama ada untung atau rugi, hutang RM4 bilion itu kena dibayar balik kerana itu adalah duit pencen kakitangan awam. Jumlah pinjaman RM4 bilion itu akan menjadi RM9.2 bilion apabila matang. Siapa yang hendak bayar hutang itu? Jawabnya kerajaan, tetapi daripada mana kerajaan hendak dapat duit? Jawabnya daripada rakyat jelata yang bayar macam-macam jenis cukai, yuran, fi dan duti kepada kerajaan.
Kesimpulannya, sama ada Najib akhirnya masuk penjara atau tidak kerana beliau sedang merayu hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya, rakyat jelata sudah pun mula menanggung beban yang ditinggalkan. Inilah musibah mempunyai pemimpin yang tidak amanah. Wallahuaklam.