Menuju PRU 15: Tumpu yakinkan kaum Melayu PH beri keutamaan
Pakatan Harapan (PH) harus memberi keutamaan kepada kaum Melayu sekiranya ingin menang pada Pilihan Raya Umum ke 15.
Menurut Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran, pengundi Melayu merupakan blok terbesar dan lebih menyulitkan keadaan apabila mereka diwakili oleh Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.
Kedua-dua gabungan itu, kata Manogaran, membayangkan pembelaan mutlak dan menawarkan keutamaan kepada Melayu dalam semua bidang.
“Untuk PRU 15 nanti, semua pemimpin utama koalisi PH harus meyakinkan masyarakat Melayu bahawa nasib mereka akan terus dijaga dan diberi keutamaan.
“Ini kerana pihak lawan, untuk meraih sokongan, sentiasa menggunakan hujah palsu bahawa ‘masyarakat Melayu akan ketinggalan di belakang jika PH berkuasa’.
“Kita perlu menangkis hujahan pihak lawan. Sebenarnya kami di koalisi PH sentiasa menghulurkan bantuan kepada masyarakat Melayu yang memerlukannya. Kami membantu semua lapisan masyarakat dalam golongan B40,” katanya kepada Suara Pakatan Daily
Menurut Manogaran lagi, sekiranya kaum Melayu mempunyai minda terbuka maka mereka boleh melihat PH mempunyai penawaran gabungan pemimpin yang lebih baik berbanding BN untuk memastikan Malaysia menjadi negara maju menjelang 2030.
“Kami di PH mempunyai para pemimpin yang berkaliber dan kami selalu bertindak sedaya-upaya untuk membantu semua golongan rakyat tanpa mengira bangsa atau agama.
“Ini adalah cara untuk urus-tadbir yang baik. Isu perkauman hanya boleh memusnahkan negara dan semua pemimpin Pakatan wajib menegaskan hal ini. Kita mesti bergerak ke depan dan tidak dibebani lagi oleh isu perkauman yang selama ini hanya memundurkan negara kita.
“Tengoklah negara-negara jiran. Mereka telah maju sebab tiada isu perkauman. Kita perlu bersaing bukan sahaja di pentas Asia malah di pentas antarabangsa dan kita hanya mampu melakukannya jika negara kita tidak dihimpit oleh isu perkauman.
“Dalam zaman wabak Covid-19 ini, kita sebagai rakyat negara berbilang kaum patut bersatu-padu dalam semangat muhibbah dan hidup aman-damai diantara satu sama lain. Barulah kita akan dihormati di seluruh dunia sebagai sebuah negara demokrasi yang unggul dimana rakyatnya hidup dengan aman-sejahtera,” katanya lagi.