Dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Klias dan DUN Tempasuk menyaksikan KEADILAN berdepan pertandingan 6 penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Calon KEADILAN, Abdul Rahman Md Yakub kembali
bertanding di DUN Klias selepas bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Umum
Ke-12 (PRU-12) pada 2008.
Malah, KEADILAN sendiri kembali bertanding di
DUN Klias, selepas kerusi itu dipertandingkan oleh Warisan pada PRU-14 namun
tewas kepada penyandang, Isnin Aliasnih.
Isnin juga kembali mempertahankan kerusinya
namun berdepan cabaran kerana pada PRU-14, beliau menang di bawah logo Barisan
Nasional (BN) namun kali ini beliau bertanding sebagai calon parti Bersatu dan
bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).
Empat lagi calon yang bertanding adalah Maksit
Saidi dari Parti Gagasan Rakyat Sabah, Abdullah Okin dari Parti Cinta Sabah,
Amsir Dani dari USNO dan Jismit Japong muncul satu-satunya calon Bebas.
Sebanyak 16,905 pengundi berdaftar di DUN
Klias.
Pada PRU-14, Isnin meraih 6,173 undi dengan
majoriti 2,336 menewaskan Lajim Ukin dari Parti Harapan Rakyat Sabah yang
meraih 3,837 undi dan Johair Mat Lani dari Warisan yang meraih 3,725 undi.
Di DUN Tempasuk, calon KEADILAN yang
bertanding iaitu Mustapha Sakmud kembali buat kali kedua meskipun mengalami
kekalahan pada PRU-14.
Beliau akan sekali lagi berdepan penyandang
kerusi, Musbah Jamli yang sudah memenangi kawasan itu sejak 1994.
Walaubagaimanapun, Musbah yang sebelum ini
bertanding sebagai calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan tampil sebagai
calon Bebas kali ini.
Ini setelah beliau bertindak keluar UMNO dan
menyertai Warisan pada tahun lalu, namun setelah dipecat kerana menunjukkan
sokongan kepada Musa Aman, beliau kini tidak mewakili mana-mana parti.
BN sebaliknya mencalonkan bekas naib ketua
pemuda UMNO, Mohd Arsad Bistari.
Tiga lagi calon lain adalah bekas pengarah
Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Sabah, Hamzah Sundang yang menjadi calon
USNO, Abd Alif Saibeh selaku calon Parti Cinta Sabah dan Kanul Gindol sebagai
calon Parti Gagasan Rakyat Sabah.
Sebanyak 11,996 pengundi berdaftar di DUN
Tempasuk.