MUHYIDDIN TELAH HILANG SOKONGAN . MESTI LETAK JAWATAN SEGERA

 

Pada 23 September 2020 jam 12.10 tengahari bertempat di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar bin Ibrahim telah mengumumkan bahawa beliau telah mendapat sokongan yang kukuh dan menyakinkan daripada Ahli-ahli Parlimen untuk di persembahkan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Majoriti Ahli-ahli Parlimen yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Ahli Parlimen Melayu dan beragama Islam.

Usai pengumuman penting Datuk Seri Anwar pada sidang media itu telah dengan pantas keluar kenyataan-kenyataan sumbang dari individu-individu tertentu yang panik lalu memberi tohmahan buruk bahawa kenyataan Datuk Seri Anwar hanyalah satu penipuan, propaganda pilihanraya, sandiwara, rekayasa palsu, mimpi disiang hari dan sebagainya.

KEADILAN ingin mengingatkan semua pihak bahawa perkara sepenting dan segenting ini apatah lagi melibatkan insitusi tertinggi negara bukanlah satu perkara yang boleh dipermain-mainkan.

KEADILAN ingin menegaskan bahawa Datuk Seri Anwar sebelum sesi sidang media itu telahpun memohon untuk mengadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Baginda telahpun memberi perkenan kepada Datuk Seri Anwar untuk mengadap Baginda pada hari Selasa 22 September 2020 jam 11.00 pagi namun terpaksa ditangguhkan pada saat akhir ekoran Baginda kegeringan lalu terpaksa menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

Perkara ini telah pun disahkan oleh pihak Istana melalui satu kenyataan media Istana Negara oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadli Shamsuddin.

Pengumuman Datuk Seri Anwar bahawa Tan Sri Muhyiddin Hj Yassin telah kehilangan sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen telah turut disahkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui kenyataan beliau yang menyatakan dengan jelas dan terang bahawa UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-ahli Parlimen mereka yang mengambil keputusan untuk menyokong Datuk Seri Anwar.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan media beliau juga maklum bahawa Ahli-ahli Parlimen UMNO yang menyatakan sokongan tersebut adalah dalam satu jumlah yang ramai.

Urutan dari kenyataan secara terbuka Presiden UMNO tersebut, KEADILAN sangat yakin bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah sendirinya sedar bahawa beliau telahpun kehilangan sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen.

Ini memandangkan dengan sokongan penuh ahli-ahli Parlimen UMNO kepada beliau sebelum itu, Tan Sri Muhyiddin hanya mempunyai selisih majoriti dua (2) orang ahli Parlimen sahaja.

Kesedaran kehilangan sokongan majoriti ini turut diperkuatkan lagi dengan pengakuan Tan Sri Muhyiddin sendiri yang memohon untuk Datuk Seri Anwar membuktikan sokongan majoriti beliau menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai satu proses formaliti.

KEADILAN ingin menegaskan bahawa sebarang cubaan pihak-pihak tertentu untuk menghalang pertemuan Datuk Seri Anwar dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang telah di perkenankan oleh Baginda adalah satu tindakan malampaui batas dan tidak menjunjung amalan demokrasi.

Ini sangat bertentangan dengan hasrat Seri Paduka Baginda yang jelas membuka pintu kepada rakyat disamping meneliti dengan terperinci segala isu-isu berkaitan perlembagaan sebagaimana ketika proses lantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke 8 dahulu.

KEADILAN sesungguhnya menghormati pandangan tokoh-tokoh perlembagaan serta ahli-ahli akademik tempatan namun KEADILAN juga menegaskan hasrat Datuk Seri Anwar sebagai ahli Parlimen dan juga Ketua Pembangkang untuk mempersembahkan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bukti senarai nama Ahli-ahli Parlimen yang telah menyatakan sokongan majoriti kepada Datuk Seri Anwar juga adalah satu hak yang wajar untuk dihormati oleh semua pihak.

KEADILAN menegaskan sekali lagi bahawa faktanya adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin kini telah kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen.

Ini turut diakui oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui kenyataan media beliau semalam. Tan Sri Muhyiddin kini secara perundangannya telah hilang keabsahan sebagai seorang Perdana Menteri Malaysia.

Oleh yang demikian, Tan Sri Muhyiddin sewajarnya berundur serta meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan cara yang terhormat memandangkan sokongan majoriti Ahli Parlimen kini telahpun beralih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KEADILAN mendukung penuh pentadbiran baru Malaysia dibawah pimpinan Datuk Seri Anwar yang pastinya akan mewakili semua rakyat, dengan majoriti Melayu-Bumiputra dan perwakilan saksama semua kaum di negara ini.

KEADILAN akur dan menyokong sepenuhnya kenyataan Datuk Seri Anwar bin Ibrahim bahawa pentadbiran baru nanti akan tetap menjunjung prinsip-prinsip perlembagaan yang mengiktiraf kedudukan Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa rasmi serta kedudukan istimewa Melayu-Bumiputra disamping jaminan tegas mempertahankan hak warga pelbagai kaum lain.

DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya

25 September 2020



No comments: