Bangun Sabah bangun, pastikan KEADILAN menang

 




Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyeru rakyat Sabah supaya bangkit mempertahankan tanah air mereka dengan mengundi KEADILAN dan Warisan Plus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September, esok.

 Beliau berkata, rakyat Sabah tidak perlu berfikir panjang untuk menolak Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kerana merekalah yang cuba menjatuhkan kerajaan negeri dan merampas hasil kekayaan Sabah.

 "Warisan baru sahaja menang selepas UMNO dan BN diberi peluang puluhan tahun untuk memerintah di Sabah, tapi mereka tidak tahan jadi pembangkang, mereka tanam fitnah, mereka rampas kerajaan persekutuan, rampas kerajaan negeri, sekarang mereka mahu rampas Sabah.

 "Tarikh 26 September bukan hari mengundi biasa, hari tersebut akan tentukan nasib rakyat sama ada Sabah akan dicuri dan dirompak, jadi ayuh kita buang perompak, tendang mereka yang cuba curi kerajaan. Pilih Warisan dan KEADILAN, buang perompak," katanya ketika Ceramah Mega Warisan Plus di DUN Inanam.

 Amirudin juga meminta rakyat Sabah supaya tidak mudah tergoda dengan sogokan wang, sebaliknya pertahankan kerajaan milik rakyat Sabah.

 "Mereka bukan nak bagi semula hak kepada rakyat tapi nak curi dari rakyat. Ketua Menteri, Shafie Apdal satu-satunya ketua menteri yang kembalikan tanah kepada rakyat. BN dan PN takut serta bimbang sebab mereka tak buat sebelum ini.

 "Ini soal maruah rakyat, orang Sabah diganggu, dirompak dan dicuri oleh petualang, mereka sangka dengan permainan duit mereka boleh rampas kekayaan Sabah.

 "Tetapi pada 26 September ini, rakyat Sabah akan bangun dan beritahu kepada mereka bahawa orang Sabah bukan orang kaya tapi harga diri mereka tinggi, mereka akan kekalkan kerajaan sah Warisan Plus yang dipilih, bangun Sabah bangun," katanya.

 

No comments: