Semalam rakyat Sabah telah keluar beramai-ramai untuk memilih di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, walaupun negara kini berada di dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
KEADILAN menghormati keputusan yang telah dibuat rakyat Sabah. Pada masa yang sama, KEADILAN berharap proses pembentukan Kerajaan Negeri dapat dikemudi dengan aman, bijaksana dan penuh hikmah.
Saya ingin ucapkan tahniah kepada rakan-rakan Warisan Plus, khususnya Datuk Seri Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah yang telah memenangi 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP yang memenangi enam kerusi dan UPKO yang berjaya memenangi satu kerusi.
Tahniah juga diucapkan buat Datuk Christina Liew, Pengerusi KEADILAN Sabah di atas kejayaan KEADILAN Sabah mempertahan dua kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) serta usaha baik terutama di DUN Sook yang melihat peningkatan hampir dua kali ganda peratus undi buat KEADILAN berbanding 2018.
Saya pohon semua pihak termasuk pimpinan parti akur dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkait COVID-19 terutama dalam isu saringan dan kuarantin.
Peningkatan mendadak kes terutama jangkitan dalam komuniti amat membimbangkan, dan saya berdoa agar rakyat Malaysia sentiasa patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) KKM dan dilindungi dari wabak ini.
ANWAR IBRAHIM