UMNO PPBM REBUT MERSING





Oleh: Omar Mokhtar A Manap

Tatkala sepinya Parlimen Mersing yang kebiasaan hanya diusik sepoi-sepoi bayu laut, tempohari digolak oleh beringasnya politik Ahli Parlimennya Datuk Dr Latiff Ahmad dan bekas partinya Umno, mungkin sudah tiba ruang untuk warganya melihat opsyen yang terpampang di depan mata, bebas dari permainan dan percaturan politik yang tidak menentu.

Jarang sekali Mersing mendapat ruang biarpun anjakan politik pada skala nasional kian menghangatkan ruangan berita dan media sosial, tetapi dengan satu ungkapan "Umno dah tak laku" Dr Latiff agak berjaya meletakkan nama Mersing di segenap bibir pembicara politik dan ruangan berita.

‘Saya orang yang melompat,’ juga pengakuan yang dibuat Dr Latiff ketika berdialog dalam Majlis Ramah Mesra Warga MARA tempohari yang lantas mengundang kritikan panas dari pucuk pimpinan Umno baik di peringkat pusat, yang mana ada yang mencabar Menteri Pembangunan Luar Bandar itu untuk meletakkan jawatannya.

Tolak mohon maaf

Kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menggambarkan bahawa Umno bersedia mengambil semula kerusi Mersing, disusuli Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi yang secara tidak langsung menolak permohonan maaf Dr Latiff secara tegas menyebut bahawa kerusi itu tetap milik Umno, memberikan gambaran situasi sebenar ‘pertalian silaturahim dan kemesraan’ antara Umno dan Bersatu.

Dr Latiff merupakan Ahli Parlimen Mersing di bawah tiket Umno semenjak tahun 1999 lagi, sebelum melompat ke Bersatu pada Februari 2019 dan menjadi sebahagian blok 15 ahli parlimen Umno yang mengukuhkan blok Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam Bersatu ketika ini.

Bagaimanapun, Umno Mersing pimpinan ketua bahagian dilihat mengeluarkan “teguran” yang begitu lunak sekali, mungkin masih terhutang budi kepada “Bos Lamanya” walaupun ini kali kedua Umno Mersing dimalukan sebegitu. Bahkan PPBM Mersing juga terus sunyi daripada mempertahankan Ahli Parlimen parti mereka, mungkin terlupa agaknya Dr Latiff sudah melompat ke PPBM.

Pengundi Mersing terkesan
Ketika berlumba-lumba orang Umno ingin menjadi “pendekar” mahu rebut kembali Parlimen Mersing dan PPBM pula seboleh-bolehnya ingin mengekalkan kerusi yang mereka dapat hasil lompatan itu, jangan terlepas pandang bahawa suara Datuk Sri Hj Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I merangkap Ahli Parlimen Lipis dari Umno yang berada "di depan" Dr Latiff ketika ungkapan kontroversi itu dilafazkan, langsung tidak kedengaran.
https://static.wixstatic.com/media/4449e2_5c1f4e77d0b74ab2ae28fb6df00054ec~mv2.jpg/v1/fit/w_300,h_300,al_c,q_5/file.jpg
Omar Mokhtar A Manap
Mungkin perangai lama pimpinan Umno masih belum berubah. Tidak berani menegur. Kalau berani pun, sekadar dari jauh. Tidak mengapa, Ahli Parlimen Lipis sudah bersedia dengan seribu satu alasan kenapa beliau sekadar berdiam diri walaupun partinya dihina sebegitu rupa di hadapan penjawat awam dan boleh disaksikan secara langsung di seluruh negara. Mungkin juga beliau ada percaturannya sendiri.

Namun apakah rakyat Mersing tidak terkesan dengan pergolakan ini? Sudahlah Ahli Parlimennya melompat parti, ditambah pula dengan ketidaktentuan menjanjikan pergolakan berpanjangan. Yang pasti, Ahli Parlimennya sudah tidak senang duduk, apatah lagi memastikan agenda rakyat diteruskan.

Sedang Umno dan PPBM berebut kerusi, KEADILAN Mersing sedang bergiat aktif dengan pelbagai program disusun untuk membantu masyarakat.

Semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan di peringkat Negeri dan Persekutuan, KEADILAN melalui pimpinan parti dan Penyelaras di Dun Tenggaroh (salah satu DUN di Parlimen Mersing) telah mendapat kerjasama yang amat baik dari banyak pihak terutamanya masyarakat di Parlimen Mersing dan DUN Tenggaroh, walaupun DUN itu diwakili ADUN dari Parti MIC.

KEADILAN, melalui Pejabat Penyelaras DUN tampak sudah lebih digemari oleh masyarakat untuk menyampaikan sebarang aduan. Tentunya selaku penyelaras DUN, terdapat pelbagai kekangan kewangan. Namun pimpinan parti, pejabat penyelaras DUN serta sukarelawan yang terdiri daripada anggota KEADILAN Cabang Mersing dan masyarakat setempat tetap menunjukkan komitmen yang jitu untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

Angin perubahan bermula
Sambutan dan penerimaan yang menggalakkan dari masyarakat Parlimen Mersing semakin dapat dilihat melalui program anjuran KEADILAN dan Pejabat Penyelaras DUN Tenggaroh yang diadakan di kawasan kubu Umno paling kuat di Mersing iaitu di Tenggaroh 3 yang juga merupakan kawasan Felda apabila telah mendapat kehadiran yang luar biasa dari masyarakat. Dewan terbuka Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 penuh sehingga perlu ditambah kerusi di bahagian luar dewan. Ini suatu perkembangan yang amat baik kepada KEADILAN untuk sebuah Parlimen yang dikatakan kubu kuat Umno dan kini sedang direbutkan dengan PPBM.

https://static.wixstatic.com/media/4449e2_0f398d49160a4d4bb20f056af70806a7~mv2.jpg/v1/fit/w_300,h_300,al_c,q_5/file.jpg
Penduduk Mersing semakin teruja menghadiri aktiviti anjuran KEADILAN
Tatkala ada yang mengatakan bahawa Umno terlalu kuat jika bergabung dengan Pas dalam Muafakat Nasional, undi yang diperoleh Pas dalam PRU lepas dengan mudah akan berpindah kepada Umno tetapi hakikatnya di peringkat akar umbi tidak begitu. Lebih dari separuh pengundi Pas akan beralih arah untuk tidak mengundi Pas atau rakan kerjasama, sama ada Umno mahupun PPBM sepertimana yang boleh dilihat melalui PRK DUN Chini.

MCA atau MIC usah berangan untuk meraih laba politik dari kerjasama tersebut, anda langsung tidak termasuk dalam perkiraan politik ini. Situasi ini turut sama berlaku terhadap ahli akar umbi Pas Mersing yang masih kekok dan rasa terhina untuk mengibarkan bendera Barisan Nasional. Mustahil untuk mereka terus mengundi Pas yang bersama Umno, tetapi peluang lebih cerah untuk mereka mengundi parti yang melawan Umno asalkan calon tepat dipilih.

Rakyat Mersing semakin jelas, apabila ada pimpinan Umno Mersing mula mendakwa Dr Latiff kini berubah, tidak buat kerja, sombong, tetapi hakikatnya itulah yang Umno Mersing pilih sekian lama sehinggalah PRU 14 yang lalu. Walaupun Umno bersama Pas, usah berangan Umno sudah disucikan.

Umno Mersing jangan lari dari tanggungjawab, jika mahu dakwa Dr Latiff gagal, maka Umno perlu turut sama memikul kegagalan itu. Ini belum dibangkitkan lagi isu-isu setempat. Sebagai contoh, bagaimana rakyat Mersing diberi harapan palsu berpuluh tahun tentang isu jambatan baru di bandar Mersing yang hingga kini langsung tidak kelihatan dan sentiasa menjadi punca utama kesesakan lalu lintas apabila tiba musim perayaan.

Modal politik jambatan inilah yang diguna setiap kali tiba pilihan raya oleh calon sama sejak tahun 1999 maka Umno usah berlepas tangan. Ketika Umno sedang berkira-kira langkah politik yang diambil di Mersing, berebut pula Parlimen Mersing dengan PPBM, kini Rakyat Mersing mempunyai pilihan yang lebih baik melalui Parti Keadilan Rakyat Cabang Mersing yang komited menawarkan khidmat bakti.

Rakyat Mersing wajar memilih KEADILAN yang akan menampilkan calon tempatan yang mempunyai tokoh kepimpinan, muda, latar belakang pendidikan dan aktivisme yang baik, sikap merakyat dan berpotensi besar untuk menggalas harapan baru mereka apabila tiba PRU 15 nanti.

__________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor merangkap Ketua Angkatan Muda KEADILAN Mersing


No comments: