1. Dalam sehari dua ini, timbul isu berkenaan
keteraturan pengampunan yang telah diperolehi Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada
16.5.2018 lepas.
2. Hujah utama yang dikemukakan untuk mencabar
pengampunan tersebut adalah bahawa keanggotaan Lembaga Pengampunan pada tarikh
16.5.2018 adalah bercanggah dengan Perkara 42(5) dan (11) Perlembagaan
Persekutuan, kerana: a) Tiada Peguam Negara yang menghadiri mesyuarat Lembaga
Pengampunan tersebut, lantas menyalahi Perkara 42(5); dan b) Tiada Menteri
Wilayah Persekutuan yang menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut,
bertentangan dengan Perkara 42(11).
3. Kedua-dua figura yang disebutkan di atas ini
tidak menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut kerana: a) Bekas Peguam
Negara, Tan Sri Apandi Ali telahpun bercuti pada ketika itu; dan b) Setakat
16.5.2018, Jemaah Menteri Persekutuan masih belum dilantik. Perkara 42(5) –
Kehadiran Peguam Negara
4. Perkara 42(5) memperuntukkan bahawa Peguam
Negara hendaklah menjadi anggota Lembaga Pengampunan.
5. Walaubagaimanapun, bahagian kedua dalam
Perkara 42(5) memperuntukkan bahawa “Peguam Negara boleh dari semasa ke semasa
melalui surat cara secara bertulis mewakilkan fungsinya sebagai anggota Lembaga
itu kepada mana-mana orang lain”.
6. Dalam konteks mesyuarat Lembaga Pengampunan
yang berlangsung pada 16.5.2018, Peguam Negara telah diwakili oleh Peguamcara
Negara ketika itu, Engku Nor Faizah Engku Atek yang menghadiri mesyuarat
tersebut mewakili dan menjalankan fungsi Peguam Negara sebagai anggota Lembaga
itu, selaras dengan Perkara 42(5).
7. Rujukan juga dibuat kepada seksyen 114(e)
Akta Keterangan 1950, yang mana hendaklah dianggap bahawa “… tindakan rasmi
telah dilaksanakan mengikut aturan”.
8. Seksyen
114(e) Akta Keterangan 1950 ini menganggap bahawa satu-satu fakta tersebut
adalah wujud melainkan dibuktikan sebaliknya, dan beban pembuktian diletakkan
kepada mereka yang ingin mempertikaikan fakta keteraturan tindakan rasmi yang
telah dilakukan.
9. Dalam konteks kehadiran kehadiran Engku Nor
Faizah Engku Atek dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan mewakili dan menjalankan
fungsi Peguam Negara sebagai anggota Lembaga itu, seksyen 114(e) Akta
Keterangan 1950 ini menganggap bahawa kehadiran Peguamcara Negara tersebut
adalah satu tindakan rasmi, dan tindakan rasmi tersebut adalah teratur, selaras
dengan Perkara 42(5).
10.
Sekiranya ada pihak-pihak yang mempertikaikan keteraturan tindakan rasmi
Peguamcara Negara tersebut, maka beban pembuktian diletakkan kepada mereka
untuk membuktikan bahawa kehadiran beliau tersebut adalah tidak teratur.
Perkara 42(11) – Keanggotaan Menteri bertanggungjawab terhadap Wilayah-wilayah
Persekutuan
11. Perkara 42(5) juga menghendaki “Ketua
Menteri Negeri” berkenaan menganggotai Lembaga Pengampunan tersebut.
12. Dalam konteks Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur, “Ketua Menteri Negeri itu” hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan
mengenai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
13. Adalah
menjadi fakta matan bahawa setakat 16.5.2018, Jemaah Menteri Persekutuan masih
belum dibentuk. Justeru, seorang Menteri yang disebut sebagai Menteri Wilayah
Persekutuan juga tiada semasa itu.
14. Namun, hal ini tidak langsung mencacatkan
tubuh Lembaga Pengampunan pada Tarikh 16.5.2018 tersebut.
15. Rujukan
perlu dibuat kepada seksyen 2(1)(a) Akta Fungsi-fungsi Menteri 1969, yang
memperuntukkan bahawa “Yang di-Pertuan Agong boleh melalui perintah dalam Warta
memberitahu bahawa seseorang Menteri telah diberi apa-apa fungsi atau telah dipertanggungkan
dengan apa-apa tanggungjawab mengenai sesuatu jabatan atau perkara yang
tertentu …”
16. Kemudian, rujukan silang dibuat kepada
Warta Kerajaan Persekutuan PU(A) 125 bertarikh 22.5.2018, iaitu Perintah
Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan 2018 yang memperuntukkan seperti berikut:
Nama dan permulaan kuat kuasa 1. … (2) Perintah ini disifatkan telah mula
berkuat kuasa pada 10 Mei 2018. Fungsi-fungsi Menteri 2. Diberitahu bahawa
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, adalah dipertanggungkan dengan
tanggungjawab mengenai semua jabatan Kerajaan Persekutuan dan perkara yang
baginya jabatan itu bertanggungjawab sehingga pelantikan Menteri lain dalam
Jemaah Menteri.
17. Walaupun pada tarikh 16.5.2018 tersebut
belum ada seorang Menteri Wilayah Persekutuan, namun berdasarkan seksyen
2(1)(a) Akta Fungsi-fungsi Menteri 1969 dan dibaca bersama PU(A) 125 bertarikh
22.5.2018, Yang di-Pertuan Agong telah memasyurkan bahawa Perdana Menteri
ketika itu, Tun Dr. Mahathir adalah Menteri yang bertanggungjawab terhadap
semua jabatan Kerajaan Persekutuan, termasuklah jabatan yang berkenaan dengan
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
18. Oleh yang demikian Tun Dr. Mahathir adalah
merupakan “Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur …” bagi maksud Perkara 42(11).
19. Media melaporkan bahawa Tun Dr. Mahathir
telah menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan pada Tarikh 16.5.2018 tersebut.
Justeru, kehadiran Tun Dr. Mahathir dalam mesyuarat tersebut adalah dalam
kapasiti beliau sebagai “Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur …”.
Kesimpulan
20.
Berdasarkan hujahan di atas, keanggotaan Lembaga Pengampunan pada tarikh
16.5.2018 tersebut adalah sah dan teratur. Hal ini kerana: a) Peguamcara Negara
telah hadir mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut, mewakili dan menjalankan
fungsi Peguam Negara sebagai anggota Lembaga itu selaras dengan Perkara 42(5);
dan b) Tun Dr. Mahathir telah menganggotai mesyuarat Lembaga Pengampunan
tersebut dalam kapasiti beliau sebagai “Menteri yang bertanggungjawab bagi
Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur …”, selaras dengan Perkara 42(11).
21. Oleh kerana keanggotaan Lembaga
Pengampunan adalah teratur, maka Lembaga tersebut boleh dan telahpun memberikan
nasihat yang wajar kepada Yang di-Pertuan Agong dan Baginda bolehlah bertindak
selaras dengan nasihat yang diberikan oleh Lembaga ini.
Mohd Ruzaini
Bin Zulkifli ialah seorang peguam dan beramal di Tetuan Hafiz Ruzaini & Co.