Agihan kerusi antara Umno dan Bersatu dilihat menjadi isu kritikal antara kedua-dua parti itu yang berada dalam blok kerajaan bukan pilihan rakyat pada masa ini.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Tajuddin Abdul Rahman menegaskan rundingan kerusi dengan Bersatu perlu mengambil kira kedudukan Umno.
“Pembahagian kerusi saya rasa boleh bincang kalau bagi secara adil tak ada masalah. Kawasan Umno bagilah Umno tanding, takkanlah Umno parti yang besar nak tanding 20 kerusi,” dipetik Malaysiakini.
Sehubungan itu, Tajuddin berpendapat penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional (MN) dapat mengelakkan pertembungan tiga penjuru sekali gus menyelesaikan isu agihan kerusi dengan Umno.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, melalui kemasukan Bersatu itu ke dalam MN itu dapat memberi tumpuan menentang musuh sebenar mereka.
“Kalau Bersatu dapat bersetuju (sertai Muafakat Nasional), tak ada (pertembungan) tiga penjuru. Itu idea yang baik. Kalau Bersatu sertai Muafakat Nasional, alhamdulillah.
“Pembahagian kerusi, semua orang melihat ke situ, selesaikan dulu dari segi dasar. Dasarnya kita tidak mahu ada persaingan sesama kita dalam Perikatan Nasional (PN),” kata Tajuddin lagi.
Bersatu sebelum ini memberitahu sedang memperhalusi cadangan untuk menyertai gabungan MN sebelum sebarang keputusan mengenainya dimuktamadkan.