Peja patut tumbuk mukanya sendiri!

Peja patut tumbuk mukanya sendiri!


Sekiranya Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mahu menumbuk muka individu yang mengata Dr Mahathir Mohamad, maka dia terlebih dahulu harus mempertimbangkan untuk menumbuk mukanya sendiri.
Demikian kata Ketua Pembangkang Perak, Abdul Aziz Bari mengulas kenyataan Ahmad Faizal semalam yang mahu mempertahankan bekas perdana menteri itu dan anaknya, Mukhriz daripada dihina.
“MB Perak ni lawak. Mungkin dia patut tumbuk mukanya sendiri, kerana dialah yang telah menikam orang tua itu dan anaknya Mukhriz dengan lari untuk menyokong Muhyiddin.
“Apa yang telah dilakukan oleh Faizal Azumu adalah lebih serius daripada mengata orang tua itu dan anaknya,” kata Aziz kepada Malaysiakini hari ini.
Aziz yang juga Adun Tebing Tinggi merujuk tindakan Ahmad Faizal yang beralih sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan baru dengan Perikatan Nasional (PH).
Ahmad Faizal semalam berkata, semua anggota Bersatu mesti memberikan “100 peratus” sokongan mereka kepada presiden parti, Muhyiddin Yassin, di samping menunjukkan rasa hormat kepada Mahathir dan Mukhriz.