APAKAH SEBENARNYA HALANGAN UNTUK MENGGUBAL AKTA ANTILOMPAT PARTI


1. Adakah Akta Antilompat Parti bercanggah dengan Fasal (1)(c) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan?
Fasal (1)(c) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menyatakaan bahawa semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan (all citizens have the right to form associations).
Ini ditafsirkan apabila si polan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN yang menang dalam pilihanraya atas tiket Parti Cap Ayam kemudian melompat menjadi ahli Parti Cap Kambing, maka tindakannya itu tidak bersalahan dengan Perlembagaan Persekutuan walaupun Kerajaan Parti Cap Ayam tumbang angkara perbuatan dia melompat parti.
Kes yang selari dengan senario di atas pernah diputuskan oleh Mahkamah Agung ( sekarang dipanggil Mahkamah Persekutuan) dalam satu kes berasal dari Kelantan iaitu Dewan Undangan Negeri Kelantan lawan Nordin Salleh [1992]1 MLJ 697.
Tetapi kes yang disebut di atas berlaku pada tahun 1992 kerana ketika itu tidak ada Akta Antilompat Parti.
2. Bolehkah Akta Antilompat Parti digubal oleh Parlimen Malaysia sekarang?
Jawapannya: Mengapa tidak boleh? Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Perkara 10 Fasal (1) (a), (b), dan (c) tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4).
Fasal (2) (c) Perkara 10 menyatakan bahawa
Parliament may by law impose on the right conferred by paragraph (c) of Clause (1), such restrictions as it deems necessary or expedient in the interest of the security of the Federation or any part thereof, public order or morality.
Ini boleh ditafsirkan bahawa Perkara 10(1)(c) bukanlah muktamad.Perlembagaan Persekutuan membenarkan Parlimen Malaysia untuk mengenakan sekatan ke atas gejala lompat melompat parti di kalangan ahli-ahli parlimen atau Adun-Adun semacam aksi katak di bawah Fasal (2)(c) untuk digubal satu Akta Antilompat Parti demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.
Sebuah kerajaan Persekutuan yang sah diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 tiba-tiba tumbang angkara lompat parti tentu sahaja menjejaskan kepentingan keselamatan negara. Ketenteraman awam juga terjejas sama. Isu prinsip moral dalam demokrasi berparlimen juga timbul apabila ahli-ahli parlimen yang melompat itu mengkhianati para pengundi yang memilih mereka di dalam pilihanraya.
Jika isu keperlembagaan (constitutionality) ditimbulkan sebagai alasan untuk menghalang penggubalan Akta Antilompat Parti, maka dinasihati supaya Perkara 10(1)(c) hendaklah dibaca sama dengan Fasal 2 (c).
3. Adakah Akta Antilompat Parti memerlukan kelulusan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat?
Jawabnya ialah tidak perlu. Akta Antilompat Parti adalah satu akta biasa yang memerlukan kelulusan majoriti mudah bukannya kelulusan majoriti dua pertiga.
4. Adakah Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu untuk menggubal Akta Antilompat Parti?
Jawapannya juga tidak perlu. Di dalam Perlembagaan Persekutuan sudah disediakan infrastrukturnya di bawah Fasal (2)(c) Perkara 10 untuk suatu Akta Antilompat Parti digubal.
5. Jadi, apakah halangan sebenarnya penggubalan Akta Antilompat Parti?
Jawapannya ialah kerana tidak ada keazaman politik (political will) di kalangan pemimpin parti politik yang menjadi kerajaan. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sempat berkuasa selama 22 bulan telah gagal menggubal Akta Antilompat Parti. Kesan dari kegagalan itu kerajaan PH telah menjadi mangsa apabila ditumbangkan oleh perbuatan melompat parti di kalangan ahli parlimen PH yang hilang prinsip moral kerana sanggup mengkhianat mandat rakyat.
6. Adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai keazaman politik untuk menggubal Akta Antilompat Parti?
Adalah disangsikan kesanggupan kerajaan PN untuk berbuat demikian kerana kerajaan PN itu sendiri ditegakkan atas perbuatan lompat melompat parti.


Tamat
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
11 Ogos 2020