Menteri PN dulu dalam kerajaan PH pun ambil projek tender secara terus





Menteri dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti Azmin Ali dianggap tidak bersikap jujur kerana mereka yang dahulunya sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga didakwa mengambil projek dengan tender secara rundingan terus.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar berkata enam menteri PN juga terlibat dalam mesyuarat Kabinet PH dan mereka tidak boleh berpura-pura seolah-olah langsung tidak bersalah.

"Enam menteri Kabinet dalam PN tak boleh cakap yang mereka tak tahu apa-apa.

"Kalau mereka kata tak tahu, nampak bodoh kerana mereka juga ada dalam mesyuarat Kabinet PH dan mereka juga ada meminta supaya projek dibuat secara rundingan terus.

"Parlimen sudah jadi sarkas, bukan lagi pasal berdebat, mempolitikkan isu sampai benci membenci satu sama lain sepanjang sidang Dewan Rakyat kal ini.

"Kita sentiasa bersikap jujur tetapi menteri kewangan tidak berlaku adil apabila melakukan kenyataan mengenai projek rundingan terus, dan ini bukanlah tingkah laku yang berparlimen," katanya dalam sidang media di Parlimen.

Xavier yang juga bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli menegaskan bahawa kementerian tidak pernah membuat rundingan secara terus.

"Sepanjang saya jaga kementerian selama 22 bulan, saya tak pernah tulis kepada Kementerian Kewangan minta projek dibuat secara rundingan terus.

"Ada satu sahaja projek dibuat runding terus, itu pun projek itu diberikan kepada Khazanah Nasional sebab Khazanah nak buat kerjasama dengan Boeing, dan ia dibawa kepada mesyuarat dan Kabinet meluluskan," katanya.

 
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan projek jenis apa yang dibuat secara rundingan terus sewaktu di bawah pentadbiran kerajaan PH.

"Pada Oktober 2018, satu jambatan runtuh di Serdang, dalam Kulim Bandar Baharu di Kedah dan ia menyebabkan kesulitan 3,000 penduduk yang setiap hari menggunakan laluan tersebut.

"Saya menulis kepada Kementerian Kewangan ketika itu berdasarkan tatacara perolehan dan perolehan itu mendesak kerana projek itu perlu disegerakan, jika tidak ia akan memudaratkan dan menjejaskan kepentingan awam.

"Jadi Kementerian Kewangan memberikan kelulusan dan Jabatan Kerja Raya kemudian melakukan proses dan jambatan baru kini dalam pembinaan.

"Kalau nak sebut tender terbuka untuk jambatan itu, akan timbul pelbagai isu, kajian dari pelbagai jabatan perlu dibuat terlebih dahulu dan kena tunggu, alamatnya sampai sekarang belum selesai.

"Tapi ia menunjukkan bahawa amalan PH adalah sangat telus," katanya.