Jangan lupa bela kebajikan penjaja - Anwar





Soal kebajikan dalam kalangan penjaja perlu ditangani dengan sewajarnya kerana mereka adalah antara golongan yang paling terkesan dengan penularan wabak COVID-19.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata golongan penjaja masih lagi kurang mendapat perhatian daripada pihak kerajaan, malah tidak mempunyai tempat untuk mengadu.

"Penjaja juga tergolong dalam kategori paling miskin dan bantuan yang diperoleh adalah sangat kecil," katanya di Dewan Rakyat.

Justeru, Anwar menggesa kerajaan dan majlis perbandaran supaya membuat satu penyelarasan secara menyeluruh bagi memastikan kebajikan golongan penjaja tidak terpinggir dengan sewenang-wenangnya.

"Saya percaya pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta majlis perbandaran perlu selaras mengenai perkara ini kerana bidang tugas kedua-dua pihak ini berbeza.

"Jadi saya mendesak satu penyelarasan menyeluruh, kerana golongan penjaja masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya, walaupun ada langkah-langkah yang sudah diambil bagi memulihkan masalah," katanya.