MUHYIDDIN PATUT SURUH AT TAKIRI LEPASKAN JAWATAN DAN BUKAN BERI KENYATAAN MEDIA


Sementara pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap Khairuddin Attakiri kerana melanggar SOP kuarantin diri, Muhyiddin Yassin semalam mengeluarkan kenyataan media memberi jaminan bahawa tiada sesiapa terkecuali jika melanggar undang-undang.
Kata beliau, kerajaan mengambil maklum dan memandang serius kes dakwaan pelanggaran perintah kuarantin oleh Khairuddin setelah dia pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpendirian bahawa setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk di bawah undang-undang negara dan tidak ada sesiapa pun yang terkecuali.
“Sehubungan itu, saya serahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan bagi menjalankan siasatan yang menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut proses undang-undang,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Begitu pun, tindakan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan media ini bukan saja agak terlambat kerana isu Attakiri sudah berlarutan sejak seminggu yang lalu, bahkan ia tidak perlu pun sebenarnya.
Rakyat bukan lagi mahu mendengar jaminan mulut seperti kenyataan bahawa undang-undang tidak memilih bulu, tiada sesiapa terkecuali daripada tindakan, kerajaan memandang berat dan sebagainya.
Rakyat tidak mahu semua itu kerana telah terlalu biasanya mendengarnya sejak dulu lagi.
Selalunya bersama kenyataan seperti itulah seseorang itu dilindungi dan tidak diambil apa-apa tindakan.
Apa yang rakyat mahu ialah ada sesuatu tindakan dan sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin sepatutnya pantas dalam bertindak, terutamanya terhadap menteri yang telah terbukti memalukan kerajaan seperti perlakuan Attakiri itu.
Jika pun Attakiri perlu berdepan proses undang-undang atas kesalahan yang dilakukannya, biarkan saja proses itu berjalan seperti biasa.
Tetapi, sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin harus mengambil tindakan lain dari segi poliitik terhadap Attakiri.
Dalam kes kesalahan yang telah dilakukan Attakiri, Muhyiddin seharusnya menasihatkannya agar berundur dengan segera atau bertindak memecatnya daripada kabinet kerana perlakuannya itu.
Ini kerana Attakiri jelas telah melakukan kesalahan yang serius dengan sengaja sehingga memberi malu dan menyebabkan kerajaan dipersenda oleh rakyat.
Hakikatnya, dalam keadaan itu, untuk apa lagi Attakiri dikekalkan dalam kabinet?
Lebih daripada itu, terdapat pula percubaan daripada pemimpin tertentu UMNO dan Pas untuk membela Attakiri dengan hujah-hujah yang tidak masuk akal.
Hujah seorang pemimpin UMNO bahawa Attakiri pergi ke Turki dengan kononnya membawa balik pelaburan bernilai RM82 bilion adalah bukti wujud percubaan untuk menutup kesalahannya.
Bagaimana pemergiannya bercuti bersama keluarga ke Turki boleh membawa masuk pelaburan untuk negara?
Bahkan, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pun belum mampu membawa masuk pelaburan untuk negara dengan jumlah sebanyak setakat ini.
Seperti kata Terese Kok, kalau benar sebanyak itu pelaburan yang mampu dibawa balik oleh Attakiri yang tiada pengalaman sebagai menteri sebelum ini, lebih baik jadikannya saja sebagai Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin?
Hujah pemimpin dan walaun Pas lagi menggelikan hati, antaranya membandingkan Attakiri dengan drebar lori yang setiap hari berulang alik antara Malaysia dan Singapura yang langsung tidak dikuarantin, tiada kluster Khairuddin yang wujud, kononnya Attakiri sebagai menteri yang sentiasa sibuk tidak perlu kuarantin diri dan pelbagai lagi.
Rakyat bukan saja mual dengan alasan-alasan seperti itu, lebih daripada itu, sebenarnya juga tidak memerlukan lagi watak seperti Attakiri sebagai menteri untuk rakyat.
Dalam hal ini, adalah menghairankan bagaimana Muhyiddin masih tidak mahu bertindak terhadap pemimpin Pas itu.
Percayalah, dengan kedudukan Muhyiddin mula merudum dari segi keyakinan rakyat sekarang ini, jika beliau berani memecat atau meminta Attakiri berundur, pujian rakyat akan melimpah-limpah terhadapnya. (Shahbudindotcom 25/08/2020)

No comments: