ADAKAH MENCURI WANG AKAN BERTUKAR MENJADI HALAL JIKA MENOLONG ANAK ANAK YATIM


Kira-kira seminggu selepas didapati bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa dalam perbicaraan SRC International, Najib Razak tampil menegaskan bahawa RM42 juta wang itu bukanlah digunakan untuk tujuan peribadi.
Bekas Perdana Menteri itu yang akan membuat rayuan terhadap keputusan bersalahnya di Mahkamah Rayuan dengan demikian menyifatkan hukuman terhadapnya sebagai “amat tidak adil”.
Dalam video tujuh minit yang dimuat naik di laman sosialnya, Najib mendakwa, duit SRC itu digunakan bagi program kebajikan UMNO dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk anak-anak yatim, bukan untuk kepentingan dirinya sendiri.
“Saya diarahkan untuk membayar denda RM210 juta ke atas RM42 juta yang diterima di mana 99 peratus daripada wang tersebut adalah dibelanjakan untuk tujuan CSR.
“Dan saya didenda RM5 untuk setiap RM1 yang diterima, sedang hakikatnya ianya bukan untuk perbelanjaan peribadi.
“Misalnya ada saksi dalam perbicaraan memberitahu sumbangan saya sebanyak RM400,000 kepada Rumah Penyayang Tun Abdul Razak di Pekan untuk kegunaan harian menjaga anak-anak yatim dan kos persekolahan mereka.
“Saya dihukum kerana membuat kebajikan, menjaga anak yatim dan persekolahan mereka,” dakwa Najib yang jelas menggambarkan rasa tidak puas hatinya terhadap hukuman yang diterimanya.
Najib turut meluahkan rasa kesal apabila didenda kerana memberikan wang kepada UMNO.
Berdasarkan keterangan saksi, sebanyak RM300,000 disalurkan dari akaun Najib kepada UMNO Johor Bahru, RM1 juta ke Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan RM50,000 kepada Ketua UMNO Padang Serai, Asmade Abu Talib pada 2015.
“Banyak lagi contoh perbelanjaaan seperti itu yang bukannya untuk kepentingan peribadi ataupun untuk keselesaan hidup saya, tetapi untuk menolong rakyat dan untuk parti,” katanya lagi.
Kesian Najib kan…kira-kiranya beliau layak digelar “Rohin Hood Malaysia” berdasarkan pembelaan diri yang diluahkannya ini.
Tetapi, jangan pula kita lupa, Botak Chin pun dilaporkan mengaku beliau melakukan rompakan untuk tujuan menolong orang-orang miskin juga.
Dalam hal ini, undang-undang tetap undang-undang dan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nadzlan Ghazali tidak silap dalam menjatuhkan hukuman bersalah terhadapnya dengan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 juta itu.
Memberi wang kepada orang miskin dan susah tidak menjadikan perbuatan mengambil wang melalui rasuah atau dengan cara yang salah bertukar menjadi halal dan dibenarkan.
Kalau begitu, semua orang yang mencuri atau merompak akhirnya akan menggunakan alasan yang sama?
Apakah boleh orang yang ditangkap mencuri makanan di pasaraya dilepaskan begitu saja jika mereka melakukannya demi kelangsungan dan kesusahan hidup?
Selain itu, dengan Najib secara terbuka mempertikaikan keputusan hakim terhadapnya, tidakkah beliau sebenarnya boleh dianggap telah menghina mahkamah?
Apakah tindakan tidak boleh diambil terhadapnya?
Kenapa Najib perlu mempertikaikan keputusan hakim, walhal beliau masih ada peluang untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan?
Begitu pun, jangan pula kita lupa, walaupun Najib mendakwa, beliau membelanjakan wang yang masuk ke akuan peribadinya itu untuk anak-anak yatim, golongan susah dan mereka yang memerlukan, semasa perbicaraan turut difaktakan beberapa perbelanjaan mewah telah dilakukannya.
Ia antaranya, pembelian di butik mewah di AS berjumlah RM543,530, penginapan di hotel mahal di Bangkok sebanyak RM127,017.46, membeli hadiah untuk isterinya, Rosmah Mansor sebanyak RM466,330 dan RM3.3 juta membeli hadiah untuk isteri Perdana Menteri Qatar.
Yang itu macam mana pulak?
Adakah mereka juga termasuk dalam golongan susah dan anak yatim? (Shahbudinditcom 04/08/2020)