Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengulang kenyataannya sebelum ini bahawa mesejnya tidak boleh dinafikan yang UMNO perlu bergerak ke hadapan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu dipetik Astro Awani berkata, masih ada yang mahu bekas Perdana Menteri, Najib Razak kembali menerajui parti sebagai Presiden UMNO, walaupun beliau sudah didapati bersalah di mahkamah.
“Saya cakap benda yang menjadi rahsia terbuka sekarang ini. Masih ada yang berharap Najib kembali semula sebagai Presiden UMNO.
“Ini yang saya maksudkan. Mereka tak nak cakap benda ini, tapi saya terpaksa cakap.
“Bagi saya, kita perlu bergerak ke hadapan. Cari generasi baru untuk memimpin UMNO,” katanya.
Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ berkata, beliau tidak berniat untuk biadap terhadap Najib dengan kenyataannya sebelum ini bahawa “UMNO perlu bergerak ke hadapan”.
“(Kita perlukan) yang boleh mengambil alih, yang boleh diberikan masa sekarang untuk membuat perancangan, untuk lima hingga sepuluh tahun akan datang. Itu maksud saya.
“Sekarang ini Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi masih lagi ada. Tak ada masalah sebab kes beliau masih dalam perbicaraan… tidak ada keputusan apa-apa lagi dari mahkamah.
“Tetapi kita mesti melihat selepas itu siapa?
“Siapakah barisan kepimpinan baru yang sebenarnya yang dikehendaki rakyat juga,” tegas KJ lagi.
Sukarkah memahami maksud kenyataan KJ ini?
Kenyataan ini KJ tidak lain bermaksud oleh kerana Najib sudah didapati bersalah dan Zahid Hamidi pula dalam perbicaraan yang mungkin juga akan didapati bersalah, maka UMNO perlukan pemimpin generasi baru sebagai pemimpinnya selepas itu.
Siapakah pemimpin generasi baru itu?
Yang KJ maksudkan generasi baru itu tidak lain tentunya ialah dirinya sendiri.
Kalau Zahid Hamidi didapati bersalah, Mohamad Hasan sebagai Timbalan Presiden UMNO sekarang adalah generasi lama dan tidak sesuai untuk mengambil alih kepimpinan UMNO.
Begitu juga dengan Naib-Naib Presiden UMNO yang ada sekarang, Ismail Sabri, Mahadzir Khalid dan Khaled Nordin juga merupakan generasi lama belaka.
Di antara generasi baru, selain KJ, mereka ialah Ahmad Maslan, Reezal Merican, Shamsul Anuar Nasarah, Asyraf Wajdi Dusuki dan lain-lain yang seangkatan dengannya.
Tetapi, oleh kerana pernah bertanding sebagai Presiden UMNO dalam pemilihan lalu, tentulah KJ merasakan dialah paling layak menerajui UMNO selepas ini.
Lalu – “angkatlah saya jadi Presiden UMNO” – itulah sebenarnya maksud KJ.
Takkan generasi lama UMNO masih tak faham-faham lagi? (Shahbudindotcom 05/08/2020)