PKR tunggu jawapan Tian Chua bila mahu letak jawatan di MPC?
Tian Chua mungkin Naib Presiden paling bernasib baik dalam PKR kerana hanya dihukum ringan, diberi amaran keras sedangkan Ketua Wanita PKR dipecat kerana menjadi orang kanan Azmin dan Zuraida.
Kini satu lagi ujian menanti beliau, iaitu menjawab surat arahan untuknya meletakkan jawatan sebagai pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebagaimana arahan setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.
Bagaimanapun, selepas seminggu isu itu tular menurut Saifuddin, Tian masih belum memberi apa-apa jawapan.
“Surat itu sudah dihantar oleh saya kepada Tian dan dia belum beri apa-apa jawapan kepada saya. Namun tidak ada had masa diberikan, tetapi kita minta seberapa segera,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.
Saifuddin berkata demikian mengulas perkembangan terkini berhubung gesaan untuk anggota Parlimen Batu itu melepaskan jawatannya sebagai pengerusi MCP.
Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 3 Julai lalu mengeluarkan peringatan dan arahan kepada Tian agar meletakkan jawatan.
Keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat MPP pada 28 Jun lalu dan berdasarkan cadangan daripada lembaga disiplin parti.
Ketika ditanya apakah wujud desakan dari parti untuk Tian mengambil tindakan segera, Saifuddin secara ringkas berkata tidak ada.
Pada 3 Julai lalu portal dalam talian The Malaysian Insight memetik sumber yang mendedahkan surat Saifuddin kepada Tian Chua bertarikh 29 Jun.
Menurut surat itu, Tian diberi arahan mengundurkan diri daripada jawatan lantikan politik atau berisiko menghadapi tindakan lebih tegas.
Laporan itu memetik Tian Chua sebagai mengesahkan bahawa beliau menerima surat itu pada malam Rabu lalu melalui e-mel.
Bagaimanapun, Sin Chew Daily pada hari yang sama turut memetik Tian Chua sebagai berkata tidak ada surat seumpama itu yang memintanya mengundurkan diri dan beliaujuga telah berbincang dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim secara peribadi mengenai kedudukan dalam GLC berkenaan.
Sebelum ini PKR memecat lima pemimpin yang dikaitkan dengan bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali, termasuk ketua wanitanya, Haniza Talha.
Parti itu memulakan siasatan tatatertib terhadap mereka yang diketahui berpihak kepada Azmin Ali yang mencetuskan “Langkah Sheraton” pada akhir Februari lalu sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.
Bagaimanapun Tian antara beberapa pemimpin parti itu yang terselamat dan hanya diberi surat tunjuk sebab.
Pada malam 23 Februari, kumpulan Azmin bertemu anggota parlimen Umno dan PAS di Hotel Sheraton, yang menjadi pencetus kepada peristiwa yang mengakibatkan perubahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).