Ahli parlimen jangan jadi macam monyet dalam kandang!


Ahli parlimen jangan jadi macam monyet dalam kandang!
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Perak amat kesal dengan tindakan sebahagian ahli-ahli parlimen yang sentiasa mengamalkan adab perbahasan yang tidak baik ketika sidang dewan berlangsung baru baru ini.

Dewan rakyat merupakan elemen utama dalam Parlimen Malaysia. Fungsi dewan yang mulia ini penting bagi menyelesaikan permasalahan rakyat dan menggubal undang-undang bagi menentukan hala tuju dan masa depan negara. Semestinya intipati perbahasan sentiasa diambil berat oleh rakyat secara umum.
Namun, kerap kali dewan rakyat dicemari dengan insiden-insiden memalukan yang berpunca daripada sikap dangkal sebahagian ahli-ahli parlimen. Kata-kata kesat dan penghinaan peribadi menunjukkan betapa sebahagian Ahli Parlimen Malaysia memiliki masalah moral yang parah. Selain itu, wujud celahan-celahan yang berniat semata-mata untuk mengganggu proses perbahasan.

Kandungan perbahasan pula semakin tidak berkualiti malah penghujahan Ahli Parlimen Digital jauh lebih baik dan berkualiti.

AMK Perak melihat tindakan-tindakan ini telah membawa imej yang sangat tidak baik buat rakyat yang sentiasa memerhati terutama pengundi-pengundi kawasan ahli parlimen yang terlibat. Sehinggakan terdapat pandangan rakyat umum menggelarkan prestasi dewan rakyat tidak ubah seperti ZOO.
Seharusnya, ahli-ahli parlimen perlu membawa imej yang baik demi memartabatkan dewan rakyat sebagai salah satu dewan yang penting bagi negara. Intipati ucapan perbahasan juga perlu diisi dengan idea-idea yang baru bagi penyelesaian masalah rakyat mahupun dasar dan rang undang-undang yang digubal untuk memacu negara ke tahap yang lebih baik. Biarlah kepentingan negara itu diletakkan sebagai satu keutamaan berbanding politik individu.

Justeru, Angkatan Muda Keadilan Negeri Perak menggesa kepada seluruh ahli-ahli parlimen untuk mengangkat semula martabat perbahasan Dewan Rakyat yang kini kian tercalar dek sikap sebahagian yang bersikap tidak ubah seperti monyet didalam kandang.

MUHAMAD ALIF ASYRAF BIN ABDULL RAHIM
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Perak
Ketua Angkatan Muda Keadilan Tanjong Malim


No comments: