"PKR tidak percaya kepada Mahathir" - AMK tidak setuju Tun M dilantik PM sekali lagi

"PKR tidak percaya kepada Mahathir" - AMK tidak setuju Tun M dilantik PM sekali lagi
Akmal percaya pendirian AMK itu mewakili suara akar umbi Parti Keadilan Rakyat dan pendokong PH. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) tetap menganggap Tun Dr Mahathir sebagai penyebab runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila meletak jawatan tanpa merujuk kepada Majlis Presiden PH.

Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir menegaskan, atas sebab itu pihaknya tidak bersetuju dengan kesediaan DAP untuk menyokong Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Akmal menjelaskan, beliau percaya pendirian AMK itu mewakili suara akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pendokong PH.

"Memang benar, jika dibiarkan Perikatan Nasional berkuasa, maka keadaan akan terus bertambah mudarat. Tetapi sudah-sudahlah dengan kaedah memilih kejahatan dari kalangan jahat-jahat ‘lesser of two evils’.

"Sekiranya rakan-rakan lain mahu mengembalikan mandat rakyat, yakinkan yang berlima itu untuk menyokong PH, bukannya menggadaikan sokongan kita buat kali kedua,"katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu menegaskan, 'pintu belakang' untuk mengkhianati mandat rakyat telah dikhianati lebih awal.


Sebagai contoh, kata Akmal, PKR tidak pernah mencadangkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kumpulannya dilantik sebagai menteri.

Namun beliau menegaskan, Dr Mahathir tetap memilih Azmin dan menubuhkan jemaah Kabinet mengikut seleranya bukan persetujuan semua parti dalam PH.

"Dasar pecah perintah sebegini rupa menyebabkan habis porak-peranda parti. Sampai sekarang, tindakan Azmin dengan Langkah Sheraton-nya langsung tidak dikecam.

"Bila ditanya atau mohon pertimbangan, mulalah ditunjuk taring kuasa eksekutif," katanya lagi.

Beliau juga menyifatkan Dr Mahathir tidak pernah berusaha meredakan serangan teruk terhadap PH dengan sentimen agama dan perkauman.

Sebaliknya, kata beliau, Dr Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu menambah perpecahan dengan merestui Kongres Maruah Melayu.

"PH sewajarnya bergerak melangkaui sentimen dan pencaturan politik sedemikian.

"Jangan kita lupa kepada sifat dan jati diri yang berpegang kepada prinsip saling hormat-menghormati walaupun berlainan bangsa, agama atau budaya.

"Tak perlulah diceritakan satu per satu, cukuplah sekadar peringatan.

"Buatlah penjanjian atau mekanisme macam mana sekali pun, bila asyik mungkiri (langgar janji) memang susah hendak dipercayai lagi," katanya.

Pada Rabu, Malaysiakini melaporkan Athony sebagai berkata, PH dan sekutunya telah meneroka dua kombinasi pilihan bagi jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Kombinasi pertama melibatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya.

Bagaimanapun, perkara itu tidak menerima sokongan daripada sekutu PH, justeru cadangan baharu dibangkitkan iaitu menggandingkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dengan Anwar sebagai timbalannya.


No comments: