Kerajaan PN buntu hadapi masalah pengangguran pasca Covid 19
Kerajaan Melayu Perikatan Nasional (PN) digesa memberi solusi jelas kepada masalah pengangguran akibat pembuangan pekerja berikutan pandemik Covid 19.
Pimpinan Amanah Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata, ketiadaan hala tuju jelas dalam penyelesaian masalah pengangguran membimbangkan rakyat. Katanya, kerajaan perlu pakej khas menangani masalah tersebut agar ia tidak merebak menjadi masalah sosial yang sukar diatasi.
“Saya rasa amat bimbang masih tiada langkah yang benar-benar berkesan untuk membantu rakyat yang menganggur. Juga kita tidak tahu angka sebenar berapa ramai yang sudah hilang mata pencarian dan sedang hidup dalam kesusahan. Satu laman berita sesawang melaporkan lebih kurang seribu buah restoran Cina tutup perniagaan sejak bulan Mac lalu.
“Juga dengan penutupan atau pengurangan pekerja di sektor perhotelan, pelancongan dan pengilangan serta beberapa industri lain, maka sudah pasti kadar pengangguran meningkat. Persoalannya sekarang apakah tindakan atau langkah efektif yang Kerajaan PN akan laksanakan membantu rakyat yang sedang menganggur, sebab masa semakin suntuk, bil-bil bulanan juga sewa rumah atau pinjaman bank perlu dibayar apabila moratorium berakhir,” katanya kepada Suara Pakatan Daily
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sg. Rapat itu berkata, satu dasar yang jelas perlu dilaksanakan ke atas pekerja asing ketika rakyat tempatan ketiadaan kerja.
Nizar mencadangkan pengambilan pekerja asing dikurangkan bagi membolehkan rakyat mendapat kerja, termasuk dalam sektor 3D.
Selain itu, beliau menyeru kerajaan PN agar meneruskan imej berintergriti PH sebelum ini bagi menarik pelaburan langsung asing ke Malaysia.
“Negara juga perlukan pelabur asing dan pelabur tempatan untuk merangsangkan ekonomi. Oleh yang demikian, urustadbir negara mestilah bersih, telus, berprinsip, beretika serta beramanah.
“Bererti gejala rasuah mesti dihapuskan dan sesiapa sahaja yang terlibat dengan rasuah mesti dihadap ke muka pengadilan dan diberi hukuman yang setimpal.
“Barulah para pelabur akan yakin untuk melaburkan modal di sini dan ini akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat kita. Dan langkah pertama untuk menjadi sebuah negara demokrasi yang berhemah, berwibawa dan berintegriti ialah Parlimen Malaysia mesti ada persidangan penuh pada bulan Julai dan Ogos depan,” katanya lagi.
Nizar mengakhiri dengan menyeru kerajaan supaya memberi 100 peratus tumpuan kepada rakyat dalam masa ini dan menegaskan semua rakyat yang susah wajib dibantu tanpa mengira bangsa, agama ataupun fahaman politik.