PKPD Selayang: Harga sayur dijangka melambung hingga 70%
Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di pasar borong Selayang akan menyebabkan harga sayur melambung sehingga 30% ke 70%.
Hal ini berlaku kerana kekurangan pekerja asing yang dikuarantin dalam beberapa blok bangunan berikutan PKPD.
Para pemilik gerai di pasar berkenaan yang membekalkan sayur-sayuran ke Lembah Kelang mengurangkan stok kerana hanya menggunakan pekerja tempatan, kata Pengerusi Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Wong Keng Fatt.
“Kerajaan hanya membenarkan pekerja tempatan memasuki pasar borong, namun sukar untuk menggaji pekerja tempatan.
“Sekiranya kekurangan pekerja berterusan, situasi ini (kenaikan harga) mungkin akan berterusan,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Minggu lalu, pasar berkenaan ditutup sementara untuk kerja sanitasi bagi mencegah Covid-19, dan kini hampir separuh daripadanya beroperasi.
Hanya 110 daripada 216 gerai di pasar berkenaan beroperasi sejak dua hari lalu.
Wong berkata, kini pihak berkuasa mahu sesiapa yang mahu masuk ke pasar borong berkenaan menunjukkan bukti mereka telah menjalani ujian Covid-19.
Ini terpakai kepada pekerja pasar, pengangkutan atau logistik dan pengguna, dan menyebabkan jumlah pelanggan berkurangan.
“Kos ujian Covid-19 (di pusat kesihatan swasta) adalah antara RM400 dan RM600 dan selepas itu kamu kena tunggu laporan, jadi walaupun ada yang menjalani ujian itu, ia mengambil masa beberapa hari untuk mendapat keputusan,” kata Wong.
Satu lagi impak syarat ini adalah ketika bekalan sayur berkurang di pasar, bekalan tidak dapat dihantar keluar ke pasar lebih kecil buat sementara waktu.
Namun, katanya harga sayur-sayuran akan lebih tinggi berbanding biasa buat sementara waktu.
PKPD di utara Kuala Lumpur berkuatkuasa sehingga 3 Mei dan kira-kira 15,000 penduduk dan pekerja yang tinggal di kawasan itu akan diarah menjalani ujian saringan Covid-19, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.
Pasar harian Selayang juga ditutup pada 21 April dan masih belum menyambung perniagaan.
Penasihat pasar harian Yap Chin Chon berkata, kebiasaanya bulan Ramadan adalah waktu yang baik untuk peniaga dan penjaja meraih keuntungan namun mereka kini tiada pendapatan.
Beliau berharap pihak berkuasa berkenaan dapat menyemak perkara ini dan membenarkan pasar kembali beroperasi, kerana bekalan makanan adalah keperluan penting di bawah PKP.