Umno mula tunjuk kuku
Via WhatsApp
Bukan rahsia lagi, Umno dan Bersatu sedang bersaing untuk menjadi parti Melayu paling dominan dan berpengaruh dalam kerajaan. Masing-masing akan saling tikam-menikam dan menjatuhkan sesama sendiri. Tempoh tiga tahun sebelum penggal parlimen berakhir bakal menyaksikan siri insiden pengkhianatan dalam persaingan merebut pengaruh itu.
Selama 60 tahun berkuasa, Umno tidak pernah dicabar sebagai parti penentu dan pentakrif kerajaan, baik semasa Perikatan mahupun BN. Ia seolah-olah memonopoli segala sumber kuasa atau memerintah secara mutlak. Itulah juga yang menyebabkan, parti-parti komponen, seperti MCA, Gerakan dan MIC, merasa tersisih dan diketepikan, serta menjadi punca kehilangan pengaruh yang ketara dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
Atas faktor yang sama juga, beberapa pemimpin Bersatu yang pernah menjadi anggota pentadbiran pada era BN, misalnya Muhyiddin sendiri, ditambah ahli-ahli Parlimen Umno yang melompat parti menyertai Bersatu selepas PRU14, tidak selesa berkongsi kuasa dalam Pakatan Harapan (PH) dan rimas bersama DAP.
Sentimen kerajaan tanpa DAP ini dimarakkan lagi dengan penolakan terhadap Anwar Ibrahim, sehingga kerajaan PH runtuh hasil pembelotan serta kerakusan kuasa Umno-PAS.
Justeru, kita melihat semua pihak yang terlibat dalam pengkhianatan ini masing-masing ghairah untuk merebut habuan dan kepentingan walaupun negara sedang diancam krisis yang dahsyat.
Saiz kabinet terpaksa dibesarkan, jawatan timbalan menteri digandakan, posisi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diserahkan kepada ahli parlimen kerajaan. Manakala ruang untuk mempersoalkan legitimasi “kerajaan tebuk atap” ditutup serapat mungkin.
Benarlah telahan bijak pandai, sekali khianat, ia tidak akan berakhir. Proses pengkhianatan itu pasti berterusan dan menunggu korban seterusnya.
Rakyat juga bakal menanggung beban berpanjangan. Kerajaan yang dibina tanpa asas kukuh bermakna didirikan atas landasan yang rapuh. Elit politik lebih disibukkan untuk mempertahan kuasa, dan terus membeli sokongan dengan pelbagai sogokan, serta memenuhi impian para penyokong. Sementara ruang demokrasi semakin sempit.
Dalih negara diancam darurat dan wabak maut dipergunakan.
Manakala keghairahan melampau tokoh tertentu, misalnya Azmin Ali, untuk menjadi perdana menteri, tentu sahaja sukar dikawal. Bekas timbalan presiden PKR yang membesar dalam era Reformasi pun boleh mengkhianati Anwar, maka siapalah Mat Hassan mahupun Zahid Hamidi, malah Muhyiddin sendiri, boleh meredakan gelora impiannya itu? Namun harus diingat konsistensi hampir semua ahli Parlimen PKR yang menyertai Bersatu itu merupakan kerusi campuran, seperti Gombak, Ampang dan Bandar Tun Razak; sememangnya berstatus gelap untuk calon bukan PH.
Politikus oportunis sentiasa berselindung di sebalik ungkapan yang manis dan mengelirukan. Mereka mendakwa mahu mengelak daripada bermain politik tetapi realitinya semua mahu dijadikan komoditi memperkukuh pengaruh, termasuk pakej rangsangan ekonomi dan bantuan makanan di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Isu kos bakul makanan yang sepatutnya RM100 tetapi sekadar bernilai RM35 itu bukan gejala baharu; ia warisan rejim BN terdahulu yang sudah mengakar sekian lama.