Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa terkedepan dalam merangka strategi bagi menangani penularan pandemik Covid-19 dan membantu rakyat yang terkesan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) di negeri ini.
Ini diakui sendiri Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Muhammad Yusoff Mohd Noor yang menyifatkan salah satu inisiatif kerajaan negeri iaitu Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang sebagai suatu usaha yang menyeluruh.
“Peruntukan khas (Dana Bantuan Kecemasan) yang disalurkan kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri juga amat dialu-alukan, dan saya sendiri termasuk Adun Permatang Berangan dan Penaga sudahpun menggunakan dana tersebut bagi penyediaan keperluan barangan harian.
“Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang turut mengagihkan peralatan seperti topeng muka, sarung tangan, hand sanitizer dan termometer untuk kegunaan Pusat Khidmat.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana telah bersetuju untuk melakukan pembenihan awan bagi menangani isu kekurangan air di negeri ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keempat Belas di Dewan Sri Pinang dekat George Town, hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada 25 Mac lalu telah mengumumkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang bernilai RM75 juta bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung rakyat ekoran krisis wabak Covid-19.
Bantuan yang telah mula diagihkan pada 1 April itu turut merangkumi dana bantuan kecemasan sebanyak RM30,000 bagi setiap DUN tanpa mengira latar belakang politik.