*KENYATAAN MEDIA LEMBAGA DISIPLIN*



17 APRIL 2020

URUSKAN PERBEZAAN PANDANGAN MELALUI SALURAN DALAMAN PARTI.

Lembaga Displin Parti Keadilan Rakyat meneliti banyak pandangan yang disalurkan secara terbuka melalui media mahupun media sosial, terutama apabila surat pemecatan dan pengantunggan keanggotaan dikeluarkan. Lembaga Disiplin juga mengakui wujudnya pandangan yang berbeza dalam perkara dasar parti atau berbentuk kritikan pada pengurusan parti. Nasihat Lembaga Disiplin adalah sila salurkan pandangan tersebut melalui saluran dalaman parti. Membuat kenyataan isu-isu dalaman kepada entiti luar tidak akan merungkai masalah mahupun menambah keharmonian dalam parti.

Parti telah mengalami episod yang sangat getir apabila dikianati oleh segelintir pimpinan yang menyebabkan runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih oleh rakyat secara demokratik. Episod ini akan dikenang sepanjang sejarah perjuangan parti untuk selamanya.

Tidak ada mana-mana organisasi yang akan merestui pengkianatan yang merosakkan dan menjatuhkan kredibilitinya, hatta mereka yang khianat itu berada dalam organisasi baru juga tidak akan merestui pengkhianatan kepada mereka pula. Mana-mana individu yang telah menyebabkan episod pengkhianatan berlaku juga mengetahui kesan langsung dari tindakannya itu. Sebahagian mereka telah membuat pengisytiharan secara jelas, manakala sebahagian lagi masih berada dalam parti. Adalah munasabah tindakan diambil bagi memastikan perjuangan parti tidak dikhianati di masa hadapan. Maka amat wajar tindakan tegas diambil terhadap ahli-ahli ini.

Lembaga Disiplin selaku badan yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan disiplin parti terjaga mesti melakukan tugas ini secara tegas. Kami telah mengemukakan pelan pemutihan parti pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang lalu, oleh kerana suasana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan penularan wabak Covid-19 yang belum reda, maka mesyuarat ini diadakan secara dalam talian dan beberapa perkara tidak dapat dilampirkan seperti kebiasaan, termasuk nama-nama beberapa anggota parti yang Lembaga Disiplin syor untuk dipecat. Mesyuarat MPP telah meluluskan sejumlah nama ini untuk di pecat mengikut Fasal 9.1 perlembagaan parti.

Terdapat juga anggota yang diberi surat tunjuk sebab atau digantung sementara di bawah Fasal 41.6 perlembagaan parti sehingga Lembaga Disiplin selesai menyiasat kesalahan mereka. Mereka diberi hak untuk mempertahankan diri serta diberi peluang untuk membuat rayuan mengikut proses biasa disiplin parti. Sebagai parti yang berpegang teguh pada paksi keadilan, tentunya kita akan memastikan proses keadilan berjalan secara betul tanpa mengambil sikap pilih bulu.

YB Dato’ Ahmad bin Kasim
Pengerusi Lembaga Disiplin
Parti Keadilan Rakyat