Pelantilkan Dato Sri Hj. Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri telah menarik berbagai komen terutamanya atas sebab kesesuaian waktu perlantikan semasa Negara tertekan berkrisis perlu berjimat.
Menambahkan lagi bilangan yang amat tinggi 70 orang Menteri sedia ada adalah susah untuk di terima rakyat.
Saya amat hairan komen ahli Majlis Tertinggi Umno, Fathul Bari Mat Jahya, yang menyatakan pelantikan Hj. Hadi boleh memperbaiki hubungan yang ‘merosot’ dan ‘bermasalah’ sebelum ini di bawah Kerajaan PH.
Kenyataan berniat jahat tersebut bagaimanapun tidak memberi perincian sebenar apakah ‘masalah’ dan ‘kemerosotan’ tersebut.
Adakah penarikan keluar tentera Malaysia yang terlibat operasi perang Yaman dari bumi Arab Saudi di antara ‘masalah’ yang di maksudkan? Kalau jawapannya ya, mengapakah Umno atau Pas sepatah pun tidak membantah penarikan pulang ATM kita di sidang Parlimen?
Sebagai Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH semasa kami PH belum menjadi kerajaan kami telah berkali-kali di Parlimen membantah penglibatan secara senyap ATM bersama sekutu lain Arab Saudi, iaitu Amerika Syarikat, Britain dan Peranchis, dalam misi serangan ke atas Yaman seperti terkandung dalam laporan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setebal 241 muka. Kerajaan BN-Umno tidak mengakui penglibatan tersebut dan Pas pula membisu.
Adalah agak aneh dalam masa Hj Hadi dalam suratnya ke Kepimpinan Negara Negara Islam-Arab baru-baru ini beliau menuduh PH berkerjasama dengan Amerika Syarikat dan Eropah untuk menjatuhkan Tun Mahathir tetapi Pas tidak pula membantah kerajaan BN- Umno berada dalam sekutu Arab Saudi dan Amerika menyerang Yaman sebuah negara Islam yang kecil.
Kenyataan Haji Hadi terbaru melalui Al Jazeera pula menyatakan sebagai Duta Khas ke Timur Tengah beliau akan meneruskan dasar Tun Mahathir semasa PH memerintah.
Soalannya, apa sebenarnya dasar atau polisi luar negara kerajaan Kerajaan Pakatan Nasional sendiri?
Masalah utama kerajaan PN adalah tiadanya Manifesto atau dasar bersama parti-parti komponen yang dipersetujui bersama kerana terlalu ghairah membentuk kerajaan pintu belakang cara terdesak.
Sementara Umno-Pas dan Bersatu menyatakan kerajaan PH hari ini adalah kerajaan Melayu-Islam, MCA pula menafikan ia adalah kerajaan Melayu-Islam, sementara MIC pula membisu.
Mereka masing-masing parti UMNO, PAS, BERSATU, MCA dan MIC bersetuju untuk ‘tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain’.
Masalah sebenarnya yang patut diutarakan Fathul Bari bukanlah untuk memperbaiki hubungan yang rosak atau merosot dengan negara Islam-Arab, tetapi untuk memperbaiki kredibiliti atau penerimaan Kerajaan PN hari ini di pentas antarabangsa dunia.
Tidak ada negara utama dunia telah mengucapkan tahniah atas pembentukan kerajaan baru PN kerana mereka tidak mahu perkara memalukan yang sama berlaku di negara mereka atau di atas diri mereka.
Ini sangat berbeza dengan sambutan positif meluas pemimpin dan rakyat dunia semasa kerajaan PH di bentuk selepas PRU 14 .
Masalah kedua sebenarnya ialah kerana Malaysia perlu membina imej atau profil negara di Timur Tengah kerana sangat susah untuk menandingi ketokohan Tun Dr Mahathir yang terkenal di seluruh dunia bukan hanya dalam kalangan pemimpin tetapi dalam kalangan rakyat jelata tidak kira agama.
Tokoh kedua Malaysia yang terkenal juga dari PH adalah Dato Sri Awar Ibrahim yang aktif di negara Islam sejak muda semasa bersam ABIM juga terkenal di kalangan negara Islam dan Arab.
Tugas berat yang akan di pikul oleh Hj. Hadi sebenarnya adalah untuk memperkenalkan Perdana Menteri baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan kerajaan ‘tidur sebantal mimpi lain lain’ yang cara mengambil alih kuasa pintu belakang di Malaysia tidak di senangi negara Arab yang takut pada cara peralihan kuasa secara ini.
Kerana itulah agaknya Hj Hadi masih mahu menumpang meneruskan polisi Tun Mahathir walau ia kelihatan berbeza arah tuju kerajaan BN-UMNO-MCA- MIC dahulu, dengan bergantung masih menggunakan jenama nama Tun Dr Mahathir yang masih harum di negara Islam-Arab.
Sepatutnya kerajaan PN merasa sangat malu kerana kurang keyakinan diri serta kredibiliti sendiri tetapi masih mahu bergantung menumpang pada ketokohan dan kredibiliti negarawan berusia 94 tahun yang di guling mereka tanpa rasa hormat.
Kerajaan PN ini akan terus menjadi kerajaan yang tidak dihormati sehingga mereka boleh berdiri di atas kredibiliti diri sendiri.
Kalau dibiarkan terlalu lama, konsep ‘tidur sebantal mimipi lain lain’ ini, ia akan bertukar menjadi ‘tidur sebantal tetapi mengigau lain lain’.
Ini akan membawa padah pada rakyat Malaysia.