KEMELUT UMNO/BERSATU DI JOHOR DAN PERAK SEDANG ANCAM KEDUDUKAN MUHYIDDIN



Dua negeri yang mengikut arus perkongsian kuasa di peringkat Pusat antara Bersatu pro Muhyiddin Yassin dengan UMNO kini sedang dilanda badai yang menunjukkan ia boleh runtuh pada bila-bila masa.
Di Johor di mana perkongsian kuasa itu menyebabkan Menteri Besar bertukar daripada Dr. Shahrudin Jamal daripada Bersatu kepada Hasni Mohamed yang mewakili UMNO, adalah negeri yang paling awal berubah pucuk pimpinannya.
Perubahan kepimpinan di Johor berlaku sebelum Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri adalah semata-mata sebagai “barter trade” yang bertujuan untuk beliau mendapat sokongan yang padu daripada UMNO.
Dengan itu, 11 Adun Bersatu diarahkan keluar PH dan membentuk gabungan baru bersama BN dan Pas yang mempunyai 17 Adun serta turut disertai tiga Adun PKR yang keluar parti.
Oleh kerana kesediaan Muhyiddin menyerahkan kerusi Menteri Besar Johor kepada UMNO yang sebelumnya dipegang oleh Bersatu, itulah yang mengukuhkan lagi sokongan diterimanya untuk menjadi Perdana Menteri.
Tetapi, sebagaimana Johor menjadi negeri pertama berubah kepimpinan kerana keghairahan Muhyiddin mahu menjadi Perdana Menteri, ia juga akhirnya menjadi negeri pertama yang bergolak.
Pergolakan berlaku kerana Bersatu Johor tidak puas hati dengan pembahagian jawatan dalam GLC negeri kepada wakil parti itu yang tentunya semua pengagihan itu dilakukan atas percaturan atau pengetahuan Menteri Besar, Hasni Mohamed daripada UMNO.
Tuduh menuduh dan berbalas kenyataan kini sedang rancak berlaku antara Bersatu dan UMNO berikutan ketidak-adilan pengagihan harta karun tersebut.
Apa yang nyata, Bersatu kini mulai nampak bahawa perkongsian kuasa dengan UMNO sama sekali tidak menguntungkan mereka.
Sudahlah perkongsian kuasa itu hanya sehingga PRU15 saja di mana Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan telah mengesahkan bahawa UMNO hanya mahu bekerjasama dengan Pas dan meninggalkan Bersatu menghadapi pilihanraya akan datang, pembahagian harta samunan pula tidak dilakukan sama rata.
Logiknya, kalau menyamun bersama-sama tetapi pembahagian hasil samunan tidak sama rata, siapa pun pasti akan naik angin akhirnya.
Di Perak, walaupun belum heboh melalui media sebagaimana di Johor, pergolakan yang sama kerana berebut harta karun juga sedang berlaku dalam diam sebenarnya.
Kerajaan PH Perak tumbang apabila 25 Adun UMNO, 3 Adun Pas dan 4 Adun Bersatu bersetuju membentuk gabungan kerajaan baru, juga untuk menuruti arus yang berlaku di peringkat Pusat serta sebagai tanda sokongan kepada Muhyiddin.
Ahmad Faizal Azumu atau Peja akhirnya dikekalkan sebagai Menteri Besar Perak, meskipun hakikatnya beliau adalah satu-satunya Adun Bersatu yang menang dalam pilihanraya lalu di negeri itu.
Tiga lagi Adun Bersatu adalah daripada dua wakil rakyat UMNO dan seorang Adun PKR yang melompat menyertai parti itu.
UMNO yang memiliki 25 Adun bukan saja tidak puas hati kerana Peja terus kekal sebagai Menteri Besar, tetapi juga kerana hanya 3 jawatan Exco diberikan kepada mereka.
Lebih menyedihkan, portfolia Exco yang diberikan kepada UMNO juga tidak penting berbanding yang dipegang oleh Bersatu.
Pembahagian jawatan dalam GLC negeri juga menjadi isu hangat di mana Peja dikatakan hanya melantik orang-orang pilihannya serta mengenepikan sama sekali watak-watak daripada UMNO.
Sebagai pemegang blok terbesar iaitu 25 Adun, UMNO Perak difahamkan sudah sedia berputus arang dan meninggalkan kerajaan baru ini pada bila-bila masa saja.
Dikatakan juga, ada yang sudah pun menandatangani surat persetujuan menolak kepimpinan Peja serta mahukan jawatan Menteri Besar Perak diserahkan kepada UMNO.
Pokoknya, pengkongsian kuasa UMNO dan Bersatu melalui pintu belakang dan bukan melalui undi dalam pilihanraya adalah sesuatu yang tidak selamat dari segi kestabilan, baik di Johor mahu pun di Perak.
Apakah jika selepas tempoh PKP ini tamat, kemelut antara Bersatu dan UMNO terus berpanjangan dan ditakdirkan berlaku perubahan kepimpinan di Johor dan Perak, maka ia akan memungkinkan perkongsian kuasa di Pusat juga akan runtuh dan kedudukan Muhyddin turut berakhir?
Soalnya, bagi mereka di peringkat negeri, adakah kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri lebih penting berbanding harta karun yang boleh dikaut? (ShahbudinHusin 30/04/2020)