Pemimpin serta wakil rakyat DAP menunjukkan semangat solidariti terhadap kempen ‘beli sayur untuk kumpulan rentan’ dengan membeli lebih 150 tan sayur segar dari Cameron Highlands, Pahang.
Sayur-sayuran itu akan diagihkan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan di kawasan masing-masing dengan harapan, sumbangan itu dapat meringankan beban kewangan keluarga terbabit.
Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Kong berkata, pelanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) beberapa kali dikatakan menyebabkan aspek logistik perlahan.
Selain itu tambahnya, beberapa pasar besar dan borong ditutup sementara ekoran pandemik Covid-19.
“Ini menyebabkan situasi tidak konvensional yang mana, jualan produk pertanian perlahan sementara banyak pengguna tidak dapat membeli sayuran jika mereka mahu atau pun mereka tidak mampu membelinya.
“Apabila banyak petani berdepan masalah jualan perlahan bagi produk pertanian, wakil rakyat DAP percaya dengan semangat solidariti di masa kesukaran dan secara bersama telah melancarkan kempen tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kempen ini menyasarkan untuk membantu para petani dengan menghubungkan mereka dengan pelbagai saluran jualan dan membantu bebanan kewangan ekoran PKP.
Tambah Yoke Kong, dalam usaha melawan pandemik itu dan menang, semangat solidariti dan sokongan bersama adalah sesuatu yang sangat penting.