Tindakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi di negara ini untuk beroperasi tanpa sekatan sekarang adalah satu kesilapan yang besar.
Memetik laporan akhbar Utusan Sarawak hari ini, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing sebagai berkata, kerajaan sepatutnya lebih berwaspada dengan langkah berkenaan dan ia sepatutnya dibenarkan secara berperingkat sehingga vaksin Covid-19 dihasilkan.
Masing berkata, tiada gunanya untuk ekonomi beroperasi tanpa sekatan dan pulih sepenuhnya sekiranya orang ramai jatuh sakit disebabkan oleh wabak ini.
Beliau turut memberi contoh kedai gunting rambut, pusat urut badan, restoran dan pawagam yang mana ia adalah susah untuk mengamalkan penjarakan sosial.
Pada Selasa, Azmin mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju supaya sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 1, 2 dan 3 meningkatkan kapasiti sepenuhnya dan dibenarkan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing.
Kebenaran itu diputuskan selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang bersidang pada 27 April lalu bagi membincangkan kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara, kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat.
Kebenaran tersebut berkuatkuasa mulai semalam dengan syarikat yang diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada MITI untuk mendapatkan kebenaran
Azmin juga menegaskan bahawa syarikat di dalam sektor yang dibenarkan itu wajib mematuhi syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi sektor masing-masing.
Kegagalan syarikat mematuhi SOP, menurutnya akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan dikenakan tindakan undang-undang
Antara sektor yang dibenarkan adalah industri pembinaan, automotif, kedai hardware dan kedai barangan elektrik dan elektronik.