KUALA LUMPUR – Pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang akan dibentangkan Jumaat ini bersifat lebih menyeluruh dan memberi manfaat kepada semua peringkat, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sama ada anda pemandu teksi, pemandu grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat. InsyaAllah, no one will be left behind,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demiikian dalam perutusan khas yang disiarkan secar langsung pukul 1 petang tadi.
Muhyiddin turut berharap pusat-pusat pungutan zakat di setiap negeri memainkan peranan secara lebih proaktif untuk membantu para asnaf yang beliau percaya sedang menghadapi keadaan hidup yang agak lebih sukar pada masa ini.
“Berilah bantuan kepada mereka. Mungkin mereka yang sebelum ini tidak tersenarai sebagai asnaf, tetapi dalam keadaan ekonomi yang terjejas pada masa ini, mereka menjadi golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, dalam mesyuarat Kabinet hari ini beliau juga telah mengarahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menggerakkan jentera Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan bagi mengenal pasti golongan asnaf yang layak disalurkan bantuan zakat dengan kadar segera.
Katanya, beliau juga berharap pusat pungutan zakat di negeri-negeri lain juga dapat melakukan perkara yang sama.
“Organisasi-organisasi kebajikan atau charity organizations juga boleh memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
“I call upon all charity organizations in this country to rise to the occassion by helping the needy regardless of race and religion during this trying moment. The difficulties they are facing are unprecented. And I believe all of you can do something meaningful to ease their burden,” katanya. – MG